PBSMM sedia makanan percuma setiap Sabtu

PBSMM Kota Bharu mengagihkan makanan kepada orang ramai semasa Program Sebekas Makanan, Ringankan Bebanan di Kubang Pasu, Kota Bharu pada Sabtu.
PBSMM Kota Bharu mengagihkan makanan kepada orang ramai semasa Program Sebekas Makanan, Ringankan Bebanan di Kubang Pasu, Kota Bharu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Kota Bharu menyediakan 100 bungkus makanan tengah hari secara percuma setiap Sabtu untuk diagihkan di sekitar bandar ini.

Pengerusinya, Tuan Harun Tuan Yahya berkata, makanan percuma tersebut telah dimulakan sejak Januari lalu dan akan diteruskan sehingga hujung Mac ini.

"Sumbangan bertujuan membantu meringankan beban orang ramai yang terkesan dengan Covid-19 terutamanya mereka yang bekerja sendiri seperti pengayuh beca.

"Alhamdulillah setakat ini pelbagai pihak termasuk Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) serta beberapa syarikat swasta memberikan kerjasama," katanya semasa Program Sebekas Makanan, Ringankan Bebanan di Kubang Pasu, di sini pada Sabtu.

Menurutnya, keadaan ekonomi semasa yang 'suram' disebabkan penularan pandemik Covid-19 menyebabkan ramai menderita dalam diam.

Beliau berkata, sumbangan itu diharap dapat membantu menceriakan kembali kehidupan penduduk di bandar ini.

Tuan Harun berkata, sebagai badan bukan kerajaan (NGO) pihaknya turut terpanggil membantu golongan yang memerlukan.

"Usaha ini merupakan salah satu khidmat sosial yang boleh disumbangkan oleh PBSMM Kota Bharu.

Artikel Berkaitan:

"Saya akui, ada dalam kalangan kita sanggup 'mengikat' perut semata-mata mahu berjimat ekoran ekonomi yang tidak menentu ketika ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Komunikasi Korporat AKSB, Nik Eida Nik Sulaiman berkata, AKSB sentiasa bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

"Walaupun sedikit namun usaha berterusan membantu rakyat mampu memberikan kegembiraan pada penerima," katanya.