[VIDEO] 'Isteri dijangka bersalin Selasa ini'

Mohd Khairi (dua dari kanan) menyerahkan jenazah bayinya untuk dikebumikan dalam satu liang lahad bersama isteri di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Stol, Repek Pasir Mas pada Sabtu.
Mohd Khairi (dua dari kanan) menyerahkan jenazah bayinya untuk dikebumikan dalam satu liang lahad bersama isteri di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Stol, Repek Pasir Mas pada Sabtu.
A
A
A

PASIR MAS - Kurang tiga hari lagi, Mohd Khairi Hasbullah, 31, bakal menimang cahaya mata keempat hasil perkongsian hidup bersama isteri tercinta Allahyarhamah Nor Haliza Abdul Yazaib, 25, yang maut dalam nahas dua motosikal di Kampung Banggol Stol Repek di sini pada Jumaat.

Bagaimanapun, hasrat Mohd Khairi itu tidak kesampaian apabila Nor Haliza dan anak dalam kandungan yang terkeluar dari rahimnya maut selepas motosikal ditunggang isterinya itu bertembung dengan sebuah lagi motosikal lain dalam kejadian terbabit.

Mohd Khairi ketika ditemui berkata, mengikut jangkaan doktor isterinya yang sarat mengandung sembilan bulan itu akan bersalin pada Selasa ini.

"Sejujurnya soal nama anak yang bakal dilahirkan itu, kami masih belum bincang lagi namanya, namun dua anak saya iaitu Muhammad Haziq, 2, dan Puteri Irdina, 8, ada mengemukan dua cadangan.

"Kalau anak lelaki Mohd Arif Irfan dan Aisah Balqis untuk perempuan. Setiap malam dua anak saya itu akan mengusap perut ibu mereka dan memanggil kedua-dua nama itu," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Banggol Stol di sini pada Sabtu.

Menurutnya, sebelum kemalangan arwah ada meminta kebenaran menunggang motosikal secara berasingan untuk ke kedai runcit di Kampung Lumpur yang terletak kira-kira 3 kilometer (km) dari rumah disebabkan tidak selesa menjadi pembonceng ekoran perutnya ketika itu sudah sarat mengandung dan hanya menunggu masa untuk bersalin.

Katanya, setiap kali keluar mereka akan menaiki sebuah motosikal sahaja kecuali semasa kejadian.

"Pada Jumaat arwah minta kebenaran menunggang secara berasingan bersama anak berusia enam tahun iaitu Nurul Iman Maisara. Jadi saya izinkan, lagipun jarak kedai runcit dengan rumah tidak jauh. Semasa tiba di lokasi yang mempunyai selekoh dia dikejutkan dengan sebuah motosikal ditunggang dalam keadaan laju telah masuk ke laluannya.

Artikel Berkaitan:

"Saya sempat mengelak namun isteri gagal berbuat demikan lalu motosikal tersebut telah melanggar arwah.

Jenazah Nor Haliza dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Stol, Repek Pasir Mas pada Sabtu.
Jenazah Nor Haliza dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Stol, Repek Pasir Mas pada Sabtu.

"Saya hanya sempat melihat kejadian yang menimpa isteri menerusi cermin sisi motosikal sahaja. Selepas itu, terus bergegas ke tempat isteri untuk memeriksa keadaanya," katanya.

Mohd Khairi berkata, ketika berada di lokasi dia lihat ada tompok darah dan tali pusat berhampiran dengan arwah.

Dia sempat mengajar arwah mengucap dua kalimah syahadah dan memohon maaf sebelum isterinya itu menghembuskan nafas terakhirnya.

Menurutnya, selepas itu dia terkejut mendapati anak yang dikandung telah terkeluar dari rahim arwah isteri dan terus memangku anak tersebut yang disangkanya sudah tidak bernyawa.

"Saya terus pulang ke rumah untuk mengambil kain. Selepas datang semula ke lokasi saya diberitahu orang ramai bayi itu masih hidup sebelum disahkan meninggal dunia semasa sedang menerima rawatan di Hospital Pasir Mas (HPM)," katanya.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, tiga termasuk wanita dan bayinya yang terkeluar dari kandungan maut dalam nahas membabitkan dua motosikal di Kampung Banggol Stol, Repek di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, Nor Haliza Abdul Yazaib, 25, maut di lokasi selepas mengalami kecederaan parah sementara bayinya disahkan meninggal dunia semasa sedang menerima rawatan di Hospital Pasir Mas (HPM).

Kemalangan tersebut turut mengakibatkan seorang lagi remaja, Muhamad Shakim Mohd Zaki, 18, meninggal dunia pada jam 10.45 malam semasa menerima rawatan di HPM.

@sinarharianonline Kisah sedih pemergian arwah Nor Haliza dan bayi lelakinya dalam nahas di Pasir Mas, semalam #fyp#TikTokNews#ViralNewsMalaysia#BuletinTikTok#Viral original sound - Sinar Harian