Tiada perebutan kerusi dalam BN

Mohamed Khaled memberi ucapan sebelum menerima borang kemasukan ahli UMNO dari Bersatu Cawangan Tasek di Bilik Gerakan Jalan Tasek 21, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang pada malam Jumaat.
Mohamed Khaled memberi ucapan sebelum menerima borang kemasukan ahli UMNO dari Bersatu Cawangan Tasek di Bilik Gerakan Jalan Tasek 21, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang pada malam Jumaat.
A
A
A

PASIR GUDANG - UMNO menafikan berlaku perebutan dalam pembahagian kerusi melibatkan parti itu, MCA dan MIC yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sehingga kata putus gagal dicapai sehingga kini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, rundingan sedang berjalan seperti biasa dan calon-calon Barisan Nasional (BN) masih belum diumumkan kerana proses itu belum selesai.

Beliau yang juga Pengerusi BN Pasir Gudang berkata, gabungan itu akan mengumumkan senarai calon membabitkan kesemua parti komponennya pada Rabu ini.

"Penamaan calon mengambil masa panjang kerana BN cukup teliti dalam soal pemilihan calon yang tepat untuk mewakili parti pada PRN Johor. Kita bukannya seperti parti di sebelah sana (Parti Keadilan Rakyat dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia) yang tengah berebut kerusi dan mungkin akan berlaku pertindihan.

"Sekarang ini, kita benarkan mereka (parti-parti komponen BN) bergaduh, bergaduhlah... namun bila sampai masa nama calon diumumkan, kita pastikan sokongan kuat diberikan kepada BN," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima kemasukan kira-kira 50 bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Cawangan Tasek 64 di Bilik Gerakan Jalan Tasek 21, Bandar Seri Alam di sini pada malam Jumaat.

Mohamed Khaled berkata demikian bagi mengulas dakwaan parti-parti komponen BN bergaduh dan sedang berebut kerusi sehingga sukar memuktamadkan senarai calon.

Berkenaan ucapan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Felda Tenggaroh 3, Mersing pada Rabu yang mendakwa UMNO sudah koyak rabak selain mengkritik parti itu, beliau enggan melayan dakwaan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Khaled beranggapan Muhyiddin kini berada dalam keadaan tertekan dan mengingatkan bekas Perdana Menteri itu supaya berpolitik secara sihat tanpa membuat tuduhan atau menghina mana-mana pihak.