Jumpa dadah RM504,000 ditanam dalam pasir

PPM Wilayah Dua menemukan dadah dalam kotak yang ditanam di kawasan pantai Parit Penyengat, Parit Jawa, Muar, pada Selasa.
PPM Wilayah Dua menemukan dadah dalam kotak yang ditanam di kawasan pantai Parit Penyengat, Parit Jawa, Muar, pada Selasa.
A
A
A

MUAR - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah bernilai RM504,000 di kawasan pantai Parit Penyengat, Parit Jawa di sini pada Selasa.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar mendapat maklumat sebelum ke lokasi pada 6.30 petang Selasa.

"Kita mendapat maklumat awam dan juga risikan berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan pantai Parit Penyengat.

"Semasa pemantauan dan risikan dijalankan pasukan operasi telah menjumpai plastik atas pasir sebelum mendapati di bawahnya ada kotak berwarna coklat yang ditanam.

"Kotak yang mencurigakan itu telah ditanam dalam pasir pada jarak 30 meter dari pantai," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kotak mengandungi 13 bungkusan teh Cina berwarna hijau disyaki dadah jenis syabu.
Kotak mengandungi 13 bungkusan teh Cina berwarna hijau disyaki dadah jenis syabu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan, kotak itu mengandungi 13 bungkusan teh Cina berwarna hijau disyaki dadah jenis syabu.

Katanya, pemeriksaan di sekitar kawasan tidak menemui sebarang suspek atau petunjuk lain.

Artikel Berkaitan:

"Modus operandi ini dikesan menjadi satu taktik baharu yang digunakan suspek dalam menjalankan kegiatan jenayah pengedaran dan penyeludupan dadah keluar ke negara jiran melalui jalan laut," ujarnya.

Menurutnya, semua barang tersebut dirampas dan dibawa ke IPD Muar untuk siasatan dan tindakan lanjut, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Muhd Zailani berkata, PPM sentiasa menjalankan operasi bagi mengekang sebarang aktiviti jenayah dan pelanggaran undang- undang rentas sempadan.

"Operasi bersepadu bersama-sama pihak JSJN dari IPD dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor secara berterusan akan dijalankan dari semasa ke semasa..

"PPM Wialayah Dua juga menyeru masyarakat untuk bersama-sama menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membanteras sebarang bentuk jenayah terutama melibatkan keselamatan dan ketenteraman awam. Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada PPM Wilayah Dua menerusi talian 07-2372221," katanya.