Sasaran Pan Gon langkah berani, beri petanda baik

Kim Pan Gon - Foto Bernama
Kim Pan Gon - Foto Bernama
A
A
A

SASARAN ketua jurulatih baharu Harimau Malaya, Kim Pan Gon untuk membawa Malaysia layak ke Piala Dunia satu hari nanti yang dilihat sebagai langkah berani, mampu memberi petanda baik buat arena bola sepak negara.

Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, B Sathianathan berkata, hasrat yang dikongsi Pan Gon pada sidang media pertamanya semalam membuktikan jurulatih dari Korea Selatan itu mempunyai tahap keyakinan serta cita-cita tinggi dalam membawa pasukan negara ke tahap lebih tinggi pada masa akan datang.

Pengarah Teknikal Sarawak United FC itu percaya Pan Gon sudah semestinya membuat analisis yang rapi terhadap tahap keupayaan barisan pemain negara sebelum tampil berani menyatakan visinya untuk bola sepak Malaysia.

"Dia diberi amanah untuk bawa pasukan negara jadi kita kena hormati (cita-cita) Pan Gon, cara apa dan bagaimana dia nak bawa serta latih pasukan terserah padanya, kita hanya perlu bagi sokongan kepadanya,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.

Walaupun Pan Gon menekankan perlu diberi masa untuk membina asas kukuh bagi membawa pasukan Malaysia keluar dari kepompong bola sepak rantau Asia Tenggara, pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa pula berpendapat, pengendali berusia 52 tahun itu sebenarnya tidak mempunyai masa untuk berbuat demikian selepas meletakkan penanda aras tinggi terhadap pasukannya.

"Pan Gon tiada masa kerana dia sudah tetapkan KPI (petunjuk prestasi utama) berani dan luar biasa macam itu (layak ke Piala Dunia), dia perlu berikan komitmen 200 peratus (untuk capai sasaran),” katanya.

Mohd Sadek memaklumkan, beliau tidak terkejut sekiranya Pan Gon boleh membawa dimensi baharu dalam bola sepak negara memandangkan rakyat Korea Selatan terkenal dengan budaya kerja serta disiplin yang cukup tinggi dalam mengejar sesuatu impian.

Seandainya Piala Dunia 2026 menjadi sasaran Pan Gon, Mohd Sadek berpendapat adalah wajar bagi bekas Pengarah Pasukan Kebangsaan Persatuan Bola Sepak Korea Selatan itu untuk menumpukan kepada usaha menggilap bakat skuad Bawah 23 tahun (B-23) kendalian Brad Maloney ketika ini.

Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam itu berkata, kesemuanya bergantung kepada prestasi barisan pemain skuad muda itu dalam Piala Asia B-23 di Uzbekistan dari 1 hingga 19 Jun depan.

Artikel Berkaitan:

"Jika skuad B-23 mampu layak ke peringkat separuh akhir di Uzbekistan saya rasa Pan Gon boleh cuba bawa pemain muda untuk mengharungi Kelayakan Piala Dunia seterusnya.

"Perlu diingat pemain senior ada pencabar baharu kerana kalau pasukan Maloney berjaya ke separuh akhir di Uzbekistan maka Pan Gon ada pilihan besar untuk membawa pemain muda ke pusingan Kelayakan Piala Dunia seterusnya.

"Kalau skuad kita boleh ulangi pencapaian Vietnam di Pusingan Akhir Kelayakan Piala Dunia 2022 pun sudah dikira berjaya,” katanya.

Vietnam muncul satu-satunya pasukan dari Asia Tenggara layak ke Pusingan Akhir Kelayakan Piala Dunia 2022. Namun Vietnam gagal menempah slot ke Piala Dunia 2022 selepas menduduki tangga tercorot di peringkat kumpulan.

Semalam, Pan Gon berkata beliau percaya mampu membawa Malaysia ke Piala Dunia selepas rantau Asia akan diberikan sehingga sembilan slot pada penganjuran kejohanan bola sepak terulung dunia itu pada masa depan.

Beliau pada masa sama cukup tertarik dengan sikap Pan Gon yang menyatakan tidak akan ‘pilih bulu’ dalam memilih pemain untuk bersama dalam skuadnya dan berharap agar tiada ‘tangan ghaib’ yang mampu menjejaskan segala perancangannya kelak.- Bernama