Sumbangan wanita kepada ekonomi kukuhkan institusi keluarga

Rina Mohd Harun
Rina Mohd Harun
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pengukuhan ekonomi keluarga oleh golongan wanita bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara malah membantu keutuhan institusi keluarga, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Beliau berkata, kebelakangan ini sebahagian besar masalah dan dan kegagalan rumah tangga disebabkan faktor ekonomi, iaitu dihimpit kesusahan kesan daripada pandemik Covid-19.

Justeru katanya, wanita memainkan peranan penting bukan sekadar menjadi suri rumah, bahkan dalam sektor ekonomi mereka juga dapat membantu suami dan keluarga.

"Kalau kita lihat, banyak kes (misalnya) keganasan rumah tangga, penceraian, yang bila kita semak dan selidik kebanyakan isu ini berpunca daripada masalah ekonomi.

"Dalam keadaan pandemik ini, ramai yang berhenti atau dibuang kerja, namun kehidupan harus diteruskan, makan anak perlu dijaga, sewa rumah perlu dibayar dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau berkata, inisiatif Wanita Bangkit@KPWKM adalah sebahagian daripada usaha membantu wanita menjana pendapatan bagi mengukuhkan sistem sokongan ekonomi, dengan cara menghubungkan golongan itu pada peluang pekerjaan yang ada atau mendedahkan mereka dengan peluang perniagaan dan keusahawanan.

Setakat ini, 5,135 wanita berjaya dibantu dengan 4,541 orang telah menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan, manakala 594 wanita ditawarkan pekerjaan dalam sektor formal.

Sementara itu, program Keusahawanan Wanita Bangkit @KPWKM pula telah berjaya mengumpulkan 14,085 usahawan wanita.- Bernama

Artikel Berkaitan: