Kertas siasatan diserah semula kepada Pendakwaan Negeri

Terence Naidu
Terence Naidu
A
A
A

GEORGETOWN - Polis telah menyerahkan semula kertas siasatan berhubung dakwaan kes dadah melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk tindakan lanjut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, kertas siasatan itu telah dikemukakan semula kepada Pengarah Pendakwaan Negeri pada 3 Februari lalu.

Mustafa berkata, polis turut melampirkan laporan patologi serta laporan dakwaan ada pihak memasukkan dadah ke dalam minumannya.

"Kita masih menunggu keputusan siasatan tersebut atau arahan selanjutnya daripada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri. Saya tidak boleh mendedahkan hasil laporan patologi sama ada positif atau negatif.

"Kami telah menyerahkan semula kertas siasatan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri dan menunggu arahan selanjutnya. Setakat ini, kami belum mendapat sebarang arahan (daripada Pengarah Pendakwaan Negeri)," katanya ketika ditemui di Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Jumaat.

Pada 25 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan bahawa kertas siasatan telah dihantar ke Pejabat Pendakwaan Negeri.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memulangkan semula kertas siasatan tersebut kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

13 Januari lalu, Terence yang juga seorang ADUN dari Perak telah ditahan di Butterworth selepas didapati positif dadah.

Artikel Berkaitan:

Beliau berusia 50-an itu ditahan di sebuah pusat hiburan karaoke keluarga.

Sehari selepas laporan itu tular, Terence mengeluarkan kenyataan membela diri berhubung penahanannya di Pulau Pinang kerana didapati positif dadah.

Beliau melakukan ujian kedua air kencing di sebuah klinik swasta di Pulau Pinang dan mendakwa dirinya didapati negatif dadah.

Peguam Terence, Ramkarpal Singh dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, ujian itu dilakukan pada 15 Januari lalu iaitu sehari selepas beliau dibebaskan dengan jaminan polis.