Bolehkah kemaraan UMNO dihalang di Johor?

Gambar hiasan. - Foto Bernama
Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

NAMPAKNYA laluan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk mengulangi kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak mudah.

Walaupun tampil solo BN dikatakan akan memberi kelebihan kepada parti itu, namun serangan parti lawan dilihat begitu padu seolah-olah mereka bersatu untuk menjatuhkan UMNO.

Sebelum ini, UMNO dan BN dikatakan mahu ‘menghapuskan’ riwayat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) di Johor, namun di pihak Bersatu dan PN, mereka juga bercita-cita menamatkan BN dalam PRN sama.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan secara jelas berkata, PRN Johor akan menjadi ‘kubur’ untuk UMNO dan BN.

Lebih menarik katanya, jika perancangan itu termakbul, UMNO sudah tentu ‘disemadikan’ di negeri asal kelahiran parti itu.

Bukan sahaja Bersatu dan PN, malah pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) juga, kesemuanya dilihat seolah-olah ‘berjemaah’ untuk memastikan BN benar-benar tersingkir kali ini.

Serang-menyerang menjelang hari pengundian adalah kebiasaan parti-parti politik untuk memenangkan parti masing-masing.

Bagaimanapun, jika serangan sekali gus disasarkan banyak parti ke atas UMNO/ BN, ia tidak mustahil boleh menggugat keyakinan rakyat terhadap parti itu.

Artikel Berkaitan:

Apatah lagi, isu dimainkan ketika ini turut menyentuh kes rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa membabitkan pemimpin UMNO Pusat.

Mereka juga turut dilabel dengan gelaran ‘kluster mahkamah’. Gelaran tersebut awalnya direka Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika perang mulutnya dengan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ia kemudian turut diguna pakai Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam suratnya kepada pengundi Johor.

Dalam suratnya itu, Dr Mahathir turut menggunakan istilah kleptokrat selain isu salah guna kuasa, pencurian wang dan harta rakyat.

Jika diimbas kembali, isu-isu tersebut antara yang berjaya mendapat perhatian pengundi sehingga tumbangnya BN buat pertama kalinya dalam sejarah politik negara pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Tiada siapa menyangka isu sedemikian ‘menjadi’ sehingga BN tersungkur teruk, ditambah pula dengan tekad golongan muda untuk mengubah landskap politik negara.

Bagaimanapun, sejauh mana keberkesanan pihak lawan memainkan isu ‘kluster mahkamah’, ia masih terlalu awal untuk dinilai.

Sebagaimana kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, tiada seorang pun yang digelar ‘kluster mahkamah’ itu akan bertanding pada PRN Johor atau mempunyai kaitan dengan pentadbiran negeri itu.

Sementara itu, apa yang boleh dilihat ketika ini, pemimpin-pemimpin lawan juga seolah-olah menunjukkan rasa bimbang terhadap kemaraan UMNO/ BN di negeri itu.

Ini termasuklah apabila Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad dalam laporan portal tempatan, mencadangkan agar PN menarik diri dalam PRN Johor untuk memastikan ‘undi menolak BN’ tidak terpecah dan hanya diperoleh PH.

Beliau berkata, apa yang berlaku ketika PRN Melaka sebelum ini sepatutnya menjadi pengajaran apabila ‘undi menolak BN’ terpecah kepada PN dan PH.

Kenyataan itu kemudian dibalas pemimpin Bersatu bahawa PH yang sepatutnya memboikot PRN itu.

Strategi menundukkan UMNO/ BN mungkin akan mudah jika parti lawan mencapai kesepakatan luar biasa, namun perkembangan terkini menunjukkan keadaan sebaliknya.

Kerana itu juga wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin menjangkakan kemenangan besar berpihak pada BN.

Ia susulan parti lawan ketika ini didakwa sudah hilang arah tujuan.Dengan kerjasama PH yang tidak begitu ‘solid’, beliau berkata, tindakan PH membenarkan PKR menggunakan lambangnya sendiri, manakala DAP dan Amanah memakai lambang PH sudah tentu mengelirukan pengundi.

Jadi, berbalik isu untuk menguburkan UMNO/ BN, ia bukanlah urusan yang mudah apatah lagi kubur tanpa jasad. Tiada siapa tahu berapa panjang lagi umur UMNO.

Sudahlah kini bergerak ‘solo’, siapa tahu UMNO/ BN jumpa ‘jodoh’ baharu pula nanti.

* W Saidatul Fadzilah W Najemudin ialah Editor Pengisian Sinar Harian