'Pengundi perlu celik politik'

A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat perlu dididik untuk menjadi pengundi yang celik politik dan boleh membezakan antara pemimpin yang jujur dengan yang hanya menggunakan undi dan rakyat untuk kepentingan politik mereka semata-mata.

Pensyarah Undang-undang dan Polisi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, ahli politik yang cenderung berkiblatkan kuasa hanya menumpukan usaha untuk mengekalkan pengaruh mereka daripada menjaga kepentingan rakyat.

Menurutnya, pengundi perlu belajar untuk menilai ahli politik yang benar-benar mempunyai rekod prestasi yang baik berbanding mereka yang hanya muncul menjelang pilihan raya sahaja.

“Rakyat sudah perlu ketepikan konsep politik untuk membalas budi semata-mata, misalnya jika seorang ahli politik berbuat baik, kita terus undi mereka.

“Sedangkan perbuatan tersebut hanya sekadar kebaikan sementara. Apabila tiba pilihan raya baru nak buat baik dan berikan hadiah yang mana dalam sistem ini disebut sebagai gula-gula politik.

“Rakyat perlu peka, ahli politik begini perlu dihukum kerana mereka menggunakan habuan atau rasuah politik demi mengekalkan kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Sinar Live bertajuk ‘Ahli Politik Sukar Dipercayai?’ yang dihoskan oleh Hazwan Mokhtar dan disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Khamis.

Mengulas lanjut mengenai kempen dalam pilihan raya, Muhammad Fathi berkata, terdapat juga parti yang mengambil pendekatan atau strategi politik kempen bersifat emosi untuk membangkitkan emosi pengundi.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menyuarakan keyakinan, parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini akan menggunakan permainan emosi dengan menimbulkan perasaan benci sama ada kepada kelompok, kaum atau karakter tertentu untuk mendapatkan sokongan pengundi.

“Kadang-kadang waktu pilihan raya akan berlaku pembunuhan karakter untuk menjatuhkan maruah atau kepercayaan masyarakat terhadap seseorang, ini yang dikatakan polisi emosi.

“Selain daripada kebencian, ada juga (ahli politik) yang akan menimbulkan rasa ketakutan dan taksub, di mana ini yang dimaksudkan dengan politik emosi yang bertentangan dengan konsep politik matang.

“Justeru, rakyat perlu sedar pendidikan pengundi adalah satu proses yang penting dalam sistem demokrasi,” ujar beliau.