Projek tangani banjir beri manfaat 35,000 penduduk Batu Pahat, Pontian

Mansor
Mansor
A
A
A

BATU PAHAT - Projek menangani masalah banjir dan limpahan air laut di daerah sini dan Pontian yang bakal bermula tahun hadapan, dijangka mampu memberi manfaat kepada 35,000 penduduk di kedua-dua daerah berkenaan.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman berkata, RM225 juta telah diperuntukkan bagi tujuan berkenaan, dengan RM190 juta adalah untuk kerja-kerja menangani masalah banjir termasuk penggalian sungai, menaik taraf benteng sungai dan pembinaan struktur kawalan air di daerah Batu Pahat.

Beliau berkata, sebanyak RM35 juta lagi adalah untuk kerja-kerja menaik taraf dan membaiki lebih 10 kilometer benteng pantai yang terjejas akibat hakisan di daerah Batu Pahat dan Pontian.

"Peruntukan ini adalah hasil perlaksanaan Kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) Bandar Batu Pahat bagi menampilkan langkah-langkah jangka panjang untuk mengurangkan risiko banjir dan mengurangkan impak pencemaran kepada sungai serta saliran, sekali gus membantu pembangunan yang lebih sistematik.

"Selain itu, ia juga dapat merancang pelaksanaan kerja-kerja pemuliharaan dan pembaikan yang berkaitan banjir kilat, di samping memastikan sistem saliran yang tidak sempurna di dalam kawasan Bandar Batu Pahat dapat dikurangkan,” katanya pada sidang media selepas meninjau kawasan hakisan di Pantai Rekreasi Perpat, dekat sini pada Khamis.

Mansor berkata, kerja-kerja naik taraf itu akan memberikan manfaat kepada 35,000 penduduk di muara Sungai Batu Pahat bermula dari benteng Peserai, Batu Pahat sehingga Tampok, Pontian.

Beliau berkata, kerja ukur pantai dan reka bentuk terperinci akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan tender kerja dijangka akan dipanggil hujung tahun ini.

"Kejadian banjir kini berlaku hampir setiap bulan berikutan sistem saliran yang tidak teratur selain masalah perparitan. Kedalaman banjir dicatatkan pada purata 0.3 meter dan sekurang-kurangnya setiap kali banjir 1,000 keluarga terjejas,” kata beliau sambil menambah projek berkenaan akan siap dalam masa tiga tahun. - Bernama

Artikel Berkaitan: