Produktiviti buruh negara catat pertumbuhan positif suku keempat 2021

Foto hiasan. Gambar kecil: Mohd Uzir
Foto hiasan. Gambar kecil: Mohd Uzir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Produktiviti buruh Malaysia yang diukur sebagai nilai ditambah per pekerja meningkat 1.7 peratus pada suku keempat tahun lepas, selepas turun 5.6 peratus pada suku sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan positif itu disebabkan oleh pengeluaran barangan dan perkhidmatan meningkat lebih laju berbanding kadar pertumbuhan pekerja.

Beliau berkata, pada suku tersebut, ekonomi Malaysia juga melonjak 3.6 peratus selepas susut 4.5 peratus pada suku sebelumnya manakala pekerja meningkat 1.8 peratus (ST3 2021: 1.2 peratus) berikutan pengoperasian semula lebih banyak sektor ekonomi selaras dengan peralihan kepada Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara pada tempoh itu.

"Nilai ditambah per pekerja pada suku ini adalah sebanyak RM24,006 per pekerja berbanding RM23,603 per pekerja pada suku yang sama 2020,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Uzir berkata, waktu operasi perniagaan adalah lebih panjang pada suku ini, sekali gus ditunjukkan melalui peningkatan jumlah jam bekerja kepada 2.3 peratus bagi merekodkan 8.8 bilion jam

"Oleh itu, produktiviti buruh yang diukur mengikut nilai ditambah per jam bekerja juga mencatatkan peningkatan dengan pertumbuhan 1.3 peratus selepas merekodkan penurunan marginal 0.6 peratus pada suku tahun sebelumnya. Nilai ditambah per jam bekerja pada suku ini berjumlah RM42.2 per jam (ST4 2020: RM41.7 per jam),” katanya.

Dari segi nilai ditambah per pekerja mengikut sektor ekonomi, ketua perangkaan itu berkata, tiga sektor merekodkan pertumbuhan positif pada suku ini iaitu sektor pembuatan, pertanian dan perkhidmatan sementara perlombongan & pengkuarian dan pembinaan kekal merosot.

Beliau berkata, sektor pembuatan mencatatkan pertumbuhan tertinggi produktiviti buruh sebanyak 5.3 peratus, sektor pertanian naik 2.9 peratus manakala sektor perkhidmatan menambah satu peratus.

Artikel Berkaitan:

Mohd Uzir berkata, prestasi produktiviti buruh per pekerja bagi 2021 naik 1.8 peratus (2020: -5.5 peratus) dengan merekodkan nilai ditambah per pekerja sebanyak RM90,647 per pekerja (2020: RM89,022 per pekerja), manakala nilai ditambah per jam bekerja turun 2.6 peratus (2020: 3.4 peratus) dengan nilai RM41.0 per jam (2020: RM42.0 per jam).

"Berbanding dengan tempoh sebelum pandemik, nilai produktiviti buruh per jam bekerja telah melebihi 2019 (RM40.7 per jam) manakala produktiviti buruh per pekerja kekal rendah (2019: RM94,162 per pekerja).

"Sektor Pembuatan merupakan satu-satunya yang telah melepasi nilai sebelum pandemik manakala lain-lain sektor masih rendah,” katanya dan menambah bahawa ekonomi global termasuk Malaysia diunjurkan mencapai prestasi yang memberangsangkan sepanjang tahun ini. - Bernama