RM5.65 juta disalurkan kepada 455 penternak terjejas banjir

Nik Muhammad Zawawi (kanan) menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan asas kepada penternak pada ketika mengadakan lawatan di ladang ternakan di Kampung Pandan 2 pada Khamis.
Nik Muhammad Zawawi (kanan) menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan asas kepada penternak pada ketika mengadakan lawatan di ladang ternakan di Kampung Pandan 2 pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memperuntukan RM5.65 juta kepada 455 penternak terjejas banjir di bawah Program Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA).

Timbalan Menteri II MAFI, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, sembilan negeri yang menerima bantuan di bawah PPSPA iaitu Selangor; Sabah, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Kedah, Negeri Sembilan, Pahang dan Kelantan selepas penternak kerugian lebih RM11.68 juta.

"Selangor merekodkan kerugian tertinggi sebanyak RM4.8 juta dan menerima peruntukan bantuan di bawah PPSPA RM2 juta.

"Johor pula menerima peruntukan RM1.3 juta, diikuti Pahang sebanyak RM1.1 juta dan baki selebihnya akan disalurkan kepada enam negeri," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke ladang penternak yang terlibat banjir 2021 di Kampung Pandan 2, di sini pada Khamis.

Pada majlis itu, penternak turut diberikan penerangan berkaitan perkhidmatan dan bantuan insentif oleh Jabatan Veterinar.

Nik Muhammad Zawawi menjelaskan, bantuan itu disalurkan bagi memulihkan semula perusahaan penternakan selepas kerugian besar akibat banjir.

Nik Muhammad Zawawi melawat kandang ternakan lembu di Kampung Pandan 2 pada Khamis.
Nik Muhammad Zawawi melawat kandang ternakan lembu di Kampung Pandan 2 pada Khamis.

"Agihan bantuan biasanya mengikut keperluan penternak seperti binatang ternakan, pembaikan kerosakan, bantuan makanan dan vitamin kepada binatang ternakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menggesa mana-mana penternak yang masih belum mendaftar dengan Jabatan Veterinar supaya dapat berbuat demikian.

“Kerajaan berhasrat untuk memberikan bantuan kepada semua yang terlibat tetapi kumpulan yang tidak berdaftar ini mendatangkan masalah kepada diri mereka.

“Jadi, kita minta semua usahawan di dalam bidang penternakan ini supaya berdaftar dengan Jabatan Veterinar supaya jumlah kerugian dapat dianggar dan bantuan dapat disalurkan kepad mereka," katanya.