Mangsa tetak, dibakar disahkan maut akibat terhidu asap

Laporan Sinar Harian pada 16 Februari 2022. ( Gambar kecil) Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir
Laporan Sinar Harian pada 16 Februari 2022. ( Gambar kecil) Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir
A
A
A

ALOR SETAR - Lelaki yang ditetak dan dibakar di sebuah bangunan panggung wayang terbiar di Simpang Kuala, di sini, pada Selasa disahkan maut akibat terhidu asap kebakaran.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, keputusan itu diperolehi hasil bedah siasatan dilakukan pada Rabu.

“Melalui bedah siasat yang selesai pada jam 1.35 petang itu, mangsa disahkan maut akibat terhidu asap kebakaran.

“Bagaimanapun, sehingga kini identiti mangsa belum dapat dikenal pasti,” katanya kepada pemberita pada Khamis.

Sebelum ini, empat individu telah ditahan bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki yang dipercayai ditetak dan dibakar di sebuah bangunan panggung wayang terbiar di Simpang Kuala dekat sini pada Selasa.

Ahmad Shukri memberitahu, tangkapan tersebut melibatkan tiga lelaki dan seorang wanita yang berusia 30-an hingga 50-an dilakukan di sekitar daerah Alor Setar.

Katanya, keempat-empat individu terbabit kini direman sehingga 22 Februari ini.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Seorang lelaki maut dipercayai ditetak sebelum dibakar dalam satu kejadian di sebuah bangunan panggung wayang terbiar di Simpang Kuala, di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk G Suresh Kumar dilaporkan berkata, mangsa dianggarkan berusia lingkungan 50-an dipercayai dibunuh antara jam 6.30 hingga 7 pagi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati terdapat kesan tetakan pada bahagian tangan dan muka mangsa sebelum lelaki itu turut dibakar di sebuah bilik di tingkat satu bangunan berkenaan.