Beg dilarikan penjenayah berisi barang kemas bernilai RM500,000

Seorang pemilik kedai emas disamun lima lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Lukut, pada Rabu. Gambar kecil: Supt Aidi Sham
Seorang pemilik kedai emas disamun lima lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Lukut, pada Rabu. Gambar kecil: Supt Aidi Sham
A
A
A

PORT DICKSON - Salah satu beg berisi barang kemas yang dilarikan lima lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian samun di sebuah stesen minyak di Lukut, pada Rabu dianggarkan bernilai RM500,000.

Ketua Polis daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian jam 10.15 pagi itu suspek telah mengambil tiga buah beg berisi barang kemas, sebuah telefon bimbit, wang tunai dan dokumen peribadi milik mangsa sebelum melarikan diri.

"Bagaimana pun dua daripada tiga beg itu telah dijumpai semula di dalam Honda CRV yang terbalik di hadapan deretan kedai.

"Siasatan awal mendapati tiada unsur penglibatan orang dalam walaupun ada pihak yang mengatakan seolah-olah kes samun itu telah dirancang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, kumpulan suspek ini dipercayai telah mengekori mangsa sejak dari awal sehingga berhenti di stesen minyak.

"Usaha mengesan kesemua suspek yang dipercayai bukan penduduk Port Dickson itu giat dilakukan dan orang awam atau saksi yang mempunyai sebarang maklumat diminta membantu siasatan.

"Maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Fatiha Nur Hamidus di talian 013-6217365 atau Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di talian 06-6462999," katanya.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan,seorang pemilik kedai emas disamun lima lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Lukut.

Artikel Berkaitan:

Kejadian itu berlaku ketika mangsa berusia 50 tahun berhenti untuk mengisi minyak.