Dua peniaga diberi amaran keras isu longgok sampah

Sisa longgokan di pasar pagi Sempalit, Raub yang telah dibersihkan. - Foto SWCorp Pahang
Sisa longgokan di pasar pagi Sempalit, Raub yang telah dibersihkan. - Foto SWCorp Pahang
A
A
A

RAUB - Sikap lepas tangan segelintir peniaga di Pasar Pagi Sempalit dekat sini yang membiarkan sampah dilonggokkan di kawasan berkenaan menyebabkan dua daripada mereka dikenakan amaran keras oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang pada Rabu.

Pengarah SWCorp Pahang, Sharudin Hamid berkata, pihaknya telah menerima aduan awam berkenaan isu sampah longgok di pasar tersebut pada Ahad lalu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan oleh SWCorp Raub bersama Alam Flora Raub mendapati sampah longgok tersebut dihasilkan oleh peniaga di kawasan pasar terbabit.

"Dua peniaga membabitkan lelaki berusia 30 dan 40-an itu telah diberikan amaran keras bagi memastikan sisa yang dihasilkan dilupuskan dengan cara yang sah dan mengikut peraturan yang ditetapkan.

"Pembersihan di kawasan terbabit juga telah dijalankan oleh pihak konsesi Alam Flora Raub

Pemasangan sepanduk dan pita amaran di lokasi terbabit selepas sisa longgokan dibersihkan. - Foto SWCorp Pahang
Pemasangan sepanduk dan pita amaran di lokasi terbabit selepas sisa longgokan dibersihkan. - Foto SWCorp Pahang

Artikel Berkaitan:

"Jika tindakan sama berulang, mereka yang terlibat akan dikenakan tindakan di bawah Akta 672 iaitu Seksyen 71 (1) melonggokkan sisa di tempat yang tidak dibenarkan yang membawa hukuman denda minimum RM10,000 dan maksimum, RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mengulas lanjut, Sharudin berkata, pihaknya juga telah memasang sepanduk dan pita amaran di kawasan terbabit bagi mengelakkan ia menjadi lokasi pelupusan sampah longgok dan haram.

Justeru, beliau meminta para peniaga di negeri ini menguruskan sisa-sisa jualan mereka dengan baik.

"Kalau ada sisa-sisa yang boleh dikitar semula, kumpulkan dan jual kepada vendor kitar semula.

"Kita juga berharap agar keadaan pasar akan jadi lebih bersih dan orang ramai akan lebih selesa untuk mengunjungi pasar-pasar sebegini selain dapat mengelakkan daripada penyakit berjangkit yang berkaitan," jelasnya.