Ribut badai Pulau Aman

Bot nelayan yang mengalami kerosakan selepas dibadai ribut pada awal pagi Khamis.
Bot nelayan yang mengalami kerosakan selepas dibadai ribut pada awal pagi Khamis.
A
A
A

BATU KAWAN - Beberapa buah rumah dan bot nelayan di Pulau Aman, di sini rosak selepas dipukul ribut dalam kejadian awal pagi Khamis.

Kejadian berlaku jam 1 pagi itu mengakibatkan kira-kira 12 buah bot nelayan terbalik dan tenggelam selain turut merosakkan peralatan menangkap ikan.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pulau Aman, Saibi Abd Majid berkata, hujan lebat disusuli angin kencang itu menggemparkan penduduk malah rumah mereka turut bergegar disebabkan kejadian berkenaan.

"Pada ketika ini memang Pulau Aman dilanda fenomena air pasang kerana hujan tetapi awal pagi tadi sekitar jam 1 hingga 2.30 pagi tidak sangka ribut pula membadai perkampungan kami.

"Semua penduduk terjaga daripada tidur kerana rumah bergegar dan bila tengok di luar air laut bergelora disebabkan angin kencang," katanya ketika dihubungi di sini, pada Khamis.

Saibi berkata, fenomena air pasang memang kerap dilalui penduduk di pulau itu dan mereka sentiasa bersiap sedia bagi memastikan tidak berlaku perkara di luar jangka.

"Kami memang dah biasa dengan keadaan ini (air pasang) tetapi malam tadi itu luar biasa sikit sebab ada ribut sekali.

"Mujur bencana yang berlaku tidak melibatkan kemalangan jiwa dan semua penduduk yang terjejas sudah selesai membuat laporan polis berhubung kejadian ini,” katanya.

Artikel Berkaitan: