Warisan pertaruh muka baharu sebagai calon

Shafie (dua, dari kanan) beramah mesra bersama masyarakat di sekitar Pasar Muafakat Sabah di sini pada Khamis
Shafie (dua, dari kanan) beramah mesra bersama masyarakat di sekitar Pasar Muafakat Sabah di sini pada Khamis
A
A
A

PASIR GUDANG - Parti Warisan tidak mempunyai masalah untuk mempertaruhkan muka-muka baharu sebagai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, perkara itu adalah ketetapan diambil Warisan yang mana mahu menampilkan pemimpin baharu dan tidak pernah menjadi wakil rakyat sebagai keutamaan.

“Ini amalan kita dari dulu. Kita tak pilih mana parti mana calon, sebahagian besar calon kita nanti kita tapis adalah muka baharu dan tidak pernah bertanding.

“Pasal kita parti yang perlu dilihat boleh menawarkan muka baharu dalam arena politik supaya kita akan kelihatan bahawa ini lah partinya. Kita akan tampil calon tempatan, tak kan nak bawa dari Sabah,” katanya ketika ditemui pemberita ketika membuat lawatan di sekitar kawasan Pasar Muafakat Sabah di sini, pada Khamis.

Shafie berkata, Warisan dalam proses memuktamadkan pemilihan calon dan meneliti jumlah kerusi yang akan ditandingi pada PRN Johor.

Ahli Parlimen Semporna itu juga tidak menafikan bahawa parti berkemungkinan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas memandangkan kawasan berkenaan mempunyai taburan masyarakat Sabah yang besar.

“Sikit masa lagi (mengumumkan calon) pasal itu saya mahu saya bincang dan datang ke sini. Saya akan umumkan (berapa kerusi bertanding) juga nanti. Ya..ini antara kawasan (bertanding DUN Permas),” katanya

Dalam pada itu, mengulas mengenai adakah parti akan menjalankan kerjasama bersama parti lain pada PRN Johor, Shafie berkata, perkara itu belum diputuskan selain keutamaan kini adalah hanya untuk memperkuatkan parti dahulu.

Artikel Berkaitan:

“(Bertanding solo), Tidak kita bersama rakyat. Rakyat tak solo. Kita bukan solo dari segi perjuangan. Rakyat rasanya dah bosan dengan parti politik dan rakyat sekarang bukan nak pilih parti mana, mereka hanya mahu calon yang boleh memberikan perkhidmatan.

“Setakat ni kita nak kuatkan umah kita dulu.. kita tidak boleh fikir rumah orang lain kan, rumah kita kalau dinding tidak siap, tangga tiada macam mana nak fikir umah orang lain, nanti dia datang rumah kita robohlah rumah itu,” katanya.