Bersih cadang empat perkara dalam undang-undang anti lompat parti

No Image Caption
A
A
A
SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mencadangkan empat perkara asas perlu dipertimbangkan dalam undang-undang berkaitan dengan anti lompat parti.

Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam satu kenyataan berkata empat perkara itu berkaitan wakil rakyat meninggalkan partinya untuk menyertai parti lain atau menjadi bebas; wakil rakyat bebas menyertai parti politik; wakil rakyat meletakkan jawatan secara sukarela daripada parti atau kerusi dan wakil rakyat dipecat oleh partinya.

Menurut kenyataan itu, dalam Undang-Undang anti lompat tradisional, sekiranya empat perkara di atas terjadi, kerusi mereka akan diisytiharkan kosong secara automatik dan pilihan raya kecil akan berlangsung.

“Bersih bagaimanapun lebih cenderung kepada undang-undang anti lompat melalui prosedur pecat yang tidak akan secara automatik mengosongkan kerusi pelompat parti tetapi menyediakan prosedur untuk pengundi pelompat parti mengosongkan kerusi tersebut.

“Hal ini akan mengelakkan tiga asas undang-undang anti lompat yang berbahaya: pertama, pimpinan parti mungkin menghapuskan saingan dalaman parti dengan memecatnya daripada parti dan secara berkesan daripada parlimen; kedua, kuasa ini akan menjadikan Ahli Parlimen menjadi pengikut buta kepada ketua mereka, dan parlimen menjadi pak turut kepada sebarang Perdana Menteri yang mempunyai sokongan majoriti tunggal dalam kerajaan.

"Ketiga, sistem parti akan dibekukan dengan mencegah kemunculan parti baru akibat perpecahan politik dalam parti sediaada seperti Parti Amanah Negara (Amanah),Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Warisan (Warisan),” katanya kenyataan itu pada Khamis.

Jelas kenyataan itu lagi, Bersih masih akan menyokong cadangan undang-undang anti lompat kerajaan namun pihak berharap beberapa perkara dapat diselesaikan.

“Mansuhkan Perkara 48(6) di mana wakil rakyat yang meletakkan jawatan daripada kerusinya dihalang untuk bertanding selama lima tahun. Hal ini akan memberi laluan kepada wakil rakyat untuk meletakkan jawatan kerana prinsip daripada partinya dan bertanding di kerusi yang sama untuk mendapat mandat baru daripada pengundi.

"Sekiranya perkara ini tidak dimansuhkan, wakil rakyat akan berhadapan penghinaan dipecat sebelum dibenarkan bertanding semula," tegas kenyataan itu.
Artikel Berkaitan:


Kenyataan itu berkata, negeri perlu diberikan kebebasan untuk menggubal undang-undang anti lompat sendiri, sama ada anti lompat tradisional, anti lompat melalui prosedur pecat seperti cadangan Bersih dan Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Said Othman, atau kaedah lain.

"Sehingga kini, pindaan Perkara 10 untuk membenarkan sekatan kebebasan berpersatuan kerana lompat parti perlu disekalikan ‘Perlembagaan Negeri’ disamping ‘Perlembagaan Persekutuan’. Pada masa yang sama, Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan tidak perlu dipinda untuk memaksa salinan karbon undang-undang anti lompat tradisional Perlembagaan Persekutuan kepada Negeri.

"Bersih turut menggesa Menteri Undang-Undang dan kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri untuk membentangkan usul Undang-Undang Anti Lompat ini pada sidang Parlimen 28 Februari ini dan memastikan usul ini menjadi undang-undang selepas mengambil input daripada Ahli Parlimen, Pertubuhan Masyarakat Sivil (CSO) dan orang ramai.

Kelulusan Undang-Undang Anti Lompat akan mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem pilihan raya dan memberi sebab untuk mereka keluar mengundi pada PRU15," jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, Bersih turut kesal dengan penundaan mesyuarat libat urus bersama CSO pada 17 Februari kerana peningkatan kes Covid-19. Bersih dan CSO yang lain sangat ternanti peluang untuk bertemu dengan kementerian tersebut dan Jabatan Peguam Negara untuk membincangkan cadangan-cadangan pembaharuan termasuk draf Undang-Undang Anti Lompat.

“Bersih berharap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar tentang penangguhan libat urus ini bukanlah dalih Kerajaan untuk tidak melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan mustahak sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya.