Aktiviti agama di masjid, surau sepanjang Ramadan dibenarkan

Ahmad Zakiyuddin (lima dari kiri) menerima replika cek sumbangan van jenazah yang disampaikan oleh Amran mewakili ZPP.
Ahmad Zakiyuddin (lima dari kiri) menerima replika cek sumbangan van jenazah yang disampaikan oleh Amran mewakili ZPP.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau di seluruh Pulau Pinang dibenarkan sepanjang Ramadan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, setakat ini tiada sebarang perubahan dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) mengenai aktiviti di masjid dan surau.

Bagaimanapun jelasnya, perkara itu akan dilihat semula sekiranya Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan SOP yang lebih ketat berikutan peningkatan kes positif Covid-19 kebelakangan ini.

"SOP yang dilaksanakan pada ketika ini dilihat sudah mencukupi sekiranya ia dipatuhi sepenuhnya oleh pentadbiran masjid dan orang ramai.

"Buat masa ini belum ada arahan ataupun perbincangan untuk menyemak semula SOP di masjid serta surau dan kita akan terus kekalkan garis panduan sedia pada Ramadan akan datang," katanya ketika ditemui media selepas majlis penyampaian van jenazah oleh Zakat Pulau Pinang (ZPP) di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah, di sini pada Khamis.

Hadir sama,Timbalan Yang Dipertua MAINPP, Datuk Roslan Ahmad; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Datuk Mohd Zakuan Zakaria dan Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali.

Pulau Pinang masih mengekalkan SOP Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk aktiviti masjid sehingga keputusan selanjutnya dibuat.

Mengulas lanjut, Ahmad Zakiyuddin berkata setakat ini tiada kes penularan Covid-19 yang dilaporkan berlaku di masjid serta surau di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berharap orang ramai terus mengutamakan pematuhan SOP yang ditetapkan bagi mengelak sebarang perebakan wabak Covid-19 sepanjang Ramadan akan datang.

Pada Rabu negara mencatat kes harian paling tinggi pada Rabu dengan 27,831 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 3,111,514 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini memaklumkan, daripada jumlah keseluruhan kes baharu hari ini, sebanyak 27,734 (99.65 peratus) adalah kategori 1 dan 2.

Manakala selebihnya sebanyak 97 kes (0.35 peratus) dalam kategori 3,4 dan 5.

Pulau Pinang turut mencatatkan peningkatan kes baharu yang mencecah 2,142 kes pada Rabu.