Polis Perak nafi lindungi sindiket pelacuran, judi online

Twitter @ED_EdisiKhas mendedahkan kegiatan perjudian dan pelacuran di empat daerah di Perak. - Foto ihsan pembaca
Twitter @ED_EdisiKhas mendedahkan kegiatan perjudian dan pelacuran di empat daerah di Perak. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

IPOH - Polis Perak menafikan dakwaan pihaknya melindungi sindiket perjudian dalam talian dan pelacuran yang berleluasa di empat daerah di negeri ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, maklumat yang didedahkan oleh akaun Twitter 'Edisi Khas' mendakwa polis turut 'kenyang' terima rasuah juga tidak benar dan bersifat fitnah.

"Maklumat tersebut bagi saya merupakan fitnah kerana dia kata ramai pegawai mengambil kesempatan dengan kegiatan itu.

"Dia patut tampil memberi maklumat supaya kita boleh bertindak. Jangan baling batu sembunyi tangan. Kalau betul, kita ada pihak tertentu yang buat siasatan.

"Sekiranya takut beri maklumat, gunalah saluran yang betul. Ada akta yang boleh melindungi dia tanpa mendedahkan identiti pelapor. Sesiapa ada maklumat berkaitan kegiatan haram di Perak boleh tampil beri maklumat," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Rabu.

Beliau mengulas mengenai ciapan di Twitter @ED_EdisiKhas mendakwa Manjung, Batu Gajah, Ipoh dan Teluk Intan penuh dengan kedai-kedai judi dalam talian, pusat hiburan dan pelacuran.

Menurutnya, maklumat yang disalurkan perlulah tepat bagi memudahkan pihaknya mengambil tindakan lanjut membanteras kegiatan yang didakwa berlaku di kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Maklumat yang diberikan itu secara am dan sekiranya boleh diberikan lokasi tepat, kita boleh ambil tindakan.

"Saya mengesahkan tiada kegiatan pelacuran, bagi perjudian mungkin ada tetapi kami akan mengambil tindakan serius terhadap kegiatan ini," katanya.

Kata Mior Faridalathrash, kesemua 15 ketua polis daerah diarahkan untuk mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan haram itu di kawasan masing-masing.

"Kalau kita buat serbuan di pusat-pusat hiburan yang menggajikan warga asing menjadi pelayan pelanggan (GRO), kita akan tulis surat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membatalkan lesen.

"Polis Perak bagaimanapun tidak akan berkompromi dengan kegiatan itu. Jadi saya ingin tegaskan bahawa maklumat tersebut tidak benar," katanya.