Usman Affan dapat bantuan susu khas

Johari (kiri) bersama Usman dan Bahauddeen (kanan) bersama susu jenama Neocate yang disumbangkan oleh orang ramai.
Johari (kiri) bersama Usman dan Bahauddeen (kanan) bersama susu jenama Neocate yang disumbangkan oleh orang ramai.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang bayi lelaki menghidapi penyakit alahan protein susu lembu dibantu Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) cawangan Kelantan menerusi kutipan derma penjanaan awam melalui laman sosial Facebook untuk membeli susu khas.

Pengerusi Macma Kelantan, Dr Johari Yap berkata, idea untuk mengutip derma berkenaan timbul selepas dia dimaklumkan mengenai keadaan Usman Affan Bahauddeen, 2, yang mengalami masalah berkenaan beberapa bulan yang lalu.

Menurutnya, Usman tinggal bersama ibu, Khadijah Idris dan bapanya, Bahauddeen Salisu yang merupakan warga Nigeria.

"Usman hanya boleh minum susu ibu dan susu khas jenama Neocate untuk ketahanan badannya.

Bapanya tidak mampu untuk menanggung perbelanjaan pembelian susu berkenaan memandangkan masih dalam proses pengajian di tahun akhir peringkat ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian.

"Kebetulan kami ada sedikit peruntukan kebajikan yang boleh disalurkan dan telah membantu membelikan susu tersebut selama tiga bulan sejak Disember 2021 sehingga Februari tahun ini dengan kos sekitar RM800 sebulan.

"Tetapi untuk bulan Mac, kami sudah kehabisan peruntukan maka saya guna Facebook milik saya untuk mendapatkan dana awam bagi membantu Usman," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, coretan mengenai kesusahan Usman dikongsi di Facebook pada jam 5 petang, 4 Februari lalu dan enam jam kemudian, dia berjaya mengumpul RM800 untuk membeli bekalan susu berkenaan dan diserahkan kepada keluarga Usman.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Bahauddeen sekeluarga juga difahamkan akan pulang ke negara Nigeria pada bulan Mac 2022 namun mereka terpaksa tinggal sebulan lagi kerana menunggu tarikh peperiksaan akhir untuk pengajian PhD.

"Mereka sekeluarga terpaksa ikat perut, hanya makan sekali sehari demi menyimpan duit untuk membeli susu khas tersebut.

Saya sebagai wakil Bahauddeen mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penderma.

"Usman sering jatuh sakit dan mereka mendapat bantuan dan sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk Unit Kebajikan Hospital USM serta para pensyarah yang turut mengumpul wang membelikan susu khas kepada Usman. Saya juga difahamkan selepas ini Usman juga boleh menggunakan susu soya untuk menggantikan susu khas berkenaan," ujarnya.

Beliau percaya, kisah mengenai sikap murni masyarakat Malaysia menghulurkan derma tanpa mengira bangsa, agama akan diceritakan kepada keluarga, sahabat mereka sebaik pulang ke negara asal sekali gus menaikkan nama Malaysia.

Johari juga memberitahu, masyarakat Malaysia yang ingin menyokong program kebajikan Macma Kelantan boleh menyumbang melalui pelbagai inisiatif yang disediakan badan itu dengan menghubungi Macma Kelantan secara terus.

Katanya, pihaknya juga tidak pernah melantik mana-mana individu bagi mewakili Macma Kelantan dalam setiap urusan derma kebajikan kepada badan itu.