[VIDEO] Pemandu sakit mental langgar tiga lagi kenderaan di KL

Seorang penghantar makanan dilaporkan cedera selepas dirempuh sebuah kereta jenis BMW dipercayai dipandu oleh seorang lelaki yang mempunyai masalah mental di Jalan Balakong menghala Seri Kembangan pada Ahad.
Seorang penghantar makanan dilaporkan cedera selepas dirempuh sebuah kereta jenis BMW dipercayai dipandu oleh seorang lelaki yang mempunyai masalah mental di Jalan Balakong menghala Seri Kembangan pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kenderaan dipandu seorang lelaki yang dipercayai mempunyai masalah mental di Jalan Balakong, Serdang pada Ahad didapati turut melanggar tiga buah kenderaan lain di sekitar ibu negara.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Superintendan Zulkafli Chek Lah berkata, suspek melanggar tiga buah kenderaan di Jalan 6/108C, Taman Sungai Besi dan Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) di sini sekitar jam 3.30 petang sebelum melarikan diri.

"Suspek yang memandu kereta jenis BMW dari arah Kuchai Lama menghala ke Taman Sungai Besi melanggar bahagian belakang kereta Perodua Bezza yang berhenti di lampu isyarat Jalan 6/108C.

"Suspek kemudian meneruskan perjalanan sehingga ke Lebuhraya Besraya dan melanggar bahagian belakang sebuah motosikal jenis Kawasaki Vulcan yang bergerak di lorong kanan lebuh raya.

"Suspek turut melanggar bahagian belakang sebuah motosikal jenis Honda RS150R yang bergerak di lorong tengah," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sinar Harian pada Selasa melaporkan, tiga buah kereta dan sebuah motosikal dilanggar seorang lelaki dipercayai pesakit mental yang dilaporkan memandu sebuah kenderaan jenis BMW milik rakannya.

Ketua JSPT Selangor, Superintendan Azman Shari'at dilaporkan berkata, dalam kejadian jam 3.50 petang itu, suspek melanggar sebuah Perodua Myvi, Mazda 8, Honda Jazz termasuk motosikal Yamaha LC135 milik seorang penghantar makanan.

Mengulas lanjut, Zulkafli berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan namun penunggang motosikal yang terjatuh mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan kaki.

Artikel Berkaitan:

Katanya, suspek yang berumur 37 tahun telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Salak Selatan Baru.

"Siasatan mendapati suspek merupakan seorang pesakit mental dan kini telah ditahan di Wad Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

"Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," ujarnya.