Pemandu sakit mental rempuh 4 kenderaan

Siasatan mendapati suspek berusia 36 tahun memandu BMW berkenaan secara laju dan melulu sebelum melanggar kesemua kenderaan tersebut dari arah belakang.
Siasatan mendapati suspek berusia 36 tahun memandu BMW berkenaan secara laju dan melulu sebelum melanggar kesemua kenderaan tersebut dari arah belakang.
A
A
A

SERDANG - Seorang penghantar makanan cedera selepas dirempuh sebuah kereta jenis BMW dipercayai dipandu oleh seorang lelaki yang mempunyai masalah mental di Jalan Balakong menghala Seri Kembangan pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata, dalam kejadian jam 3.50 petang itu, suspek turut melanggar sebuah Perodua Myvi, Mazda 8, Honda Jazz termasuk motosikal Yamaha LC135 milik penghantar makanan tersebut.

"Siasatan awal mendapati suspek berusia 36 tahun memandu BMW berkenaan secara laju dan melulu sebelum melanggar kesemua kenderaan tersebut dari arah belakang.

"Pelanggaran itu menyebabkan penunggang motosikal terbabit gagal mengawal kenderaannya lalu terjatuh di atas jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, penghantar makanan berusia 33 tahun terbabit mengalami kecederaan ringan pada tangan kanan dan badan telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta.

Katanya, suspek ditahan oleh sepasukan polis dari Balai Polis Salak Selatan Baru sekitar jam 7.10 malam pada Ahad.

"Hasil ujian saringan awal air kencing serta alkohol terhadap suspek didapati negatif dan dia dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk tindakan lanjut.

"Semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai kad rawatan mental dari PPUM. Selain itu, suspek juga didapati tiada lesen dan saman akan dikeluarkan kepada pemilik kenderaan iaitu rakannya yang meminjamkan kereta berkenaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.