Malaysia 'smash' Jepun

Aksi pemain perseorangan wanita negara, Siti Nurshuhaini ketika menentang pemain Jepun, Hina Akechi di Kejohanan BATC 2022 pada Selasa.
Aksi pemain perseorangan wanita negara, Siti Nurshuhaini ketika menentang pemain Jepun, Hina Akechi di Kejohanan BATC 2022 pada Selasa.
A
A
A

SKUAD badminton wanita negara membuka tirai peringkat kumpulan Y Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 dengan langkah kanan apabila berjaya menewaskan Jepun 3-2 dalam aksi di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada Selasa.

Pada perlawanan tersebut, Malaysia terlebih dahulu ketinggalan 0-2 susulan kekalahan dua pemain perseorangan wanita utama, S Kisona dan Eoon Xi Quan.

Kisona terpaksa akur apabila tewas di tangan pemain Jepun, Natsuki Nidaira 12-21, 16-21, manakala Xi Quan tunduk kepada Riko Gunji 17-21, 7-21.

Bagaimanapun, perseorangan remaja negara, Siti Nurshuhaini Azman berjaya menyekat Jepun daripada mendahului 3-0 ke atas Malaysia apabila berjaya meraih kemenangan straight set 21-16, 22-20 menumpaskan perseorangan Jepun, Hina Akechi.

Kemenangan itu nyata menyuntik semangat beregu wanita, Pearly Tan dan Valeree Siow yang meneruskan momentum positif apabila menewaskan Rui Hirokami dan Yuna Kato.

Pearly-Valeree yang menjadi ‘scratch pair’ selepas ketiadaan M Thinaah berjaya meraih kemenangan 24-22, 21-18 ke atas Rui untuk Malaysia menyamakan kedudukan.

Teoh Mei Xing-Anna Cheong yang menjadi taruhan apabila turun pada perlawanan akhir tampil memberikan penamat yang gembira buat pasukan negara.

Pada perlawanan terakhir itu, Mei Xing-Anna berjaya menumpaskan lawannya, Hina Akechi-Riko Gunji secara ‘straight set’ dengan pungutan mata 21-12 dan 21-5.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan ini sekaligus membolehkan pasukan wanita Malaysia meraih kemenangan pada perlawanan pertama dengan keputusan 3-2 ke atas Jepun.