PM Kanada enggan beri muka

Trak dan beberapa kenderaan lain menghalang laluan di Ottawa hingga melumpuhkan bandar tersebut sejak 22 Januari lalu. - Foto: AFP
Trak dan beberapa kenderaan lain menghalang laluan di Ottawa hingga melumpuhkan bandar tersebut sejak 22 Januari lalu. - Foto: AFP
A
A
A

OTTAWA - Perdana Menteri, Justin Trudeau akhirnya terpaksa menggunakan ordinan darurat yang jarang diguna pakai sebagai usaha untuk meredakan protes Konvoi Kebebasan yang telah melumpuhkan bandar Ottawa sejak lebih dua minggu lalu.

Langkah tegas itu diambil setelah ribuan pemandu trak bersama kenderaan lain bertindak menghalang laluan di Ottawa dan koridor perdagangan Kanada-Amerika Syarikat (AS) semata-mata mahu menyuarakan bantahan mereka terhadap arahan vaksinasi mandatori.

Trudeau mengumumkan pelaksanaan Akta Darurat itu selepas beliau menyertai mesyuarat peringkat tinggi bersama kepimpinan wilayah untuk membincangkan tentang protes tersebut yang kini telah merebak ke Perancis, New Zealand dan AS.

"Kerajaan persekutuan telah menggunakan ordinan darurat tersebut untuk memperluaskan kuasa kepada pihak berkuasa di wilayah terjejas untuk menangani bantahan tersebut yang masih berterusan hingga kini," jelasnya.

Di bawah akta itu, anggota polis diberi kuasa tambahan untuk menahan dan merampas trak mereka yang menghalang laluan selain melarang sebarang pembiayaan kepada protes berkenaan.

Menurutnya, pasukan tentera tidak akan dikerah buat masa ini.

Difahamkan, penggunaan ordinan darurat itu bagaimanapun perlu diluluskan Parlimen dalam tempoh tujuh hari.

"Protes Konvoi Kebebasan itu menjejaskan ekonomi dan membahayakan keselamatan awam. Kita tidak boleh membiarkan aktiviti berbahaya ini daripada berterusan. Pelaksanaan langkah itu adalah secara munasabah dan terhad, menyasarkan geografi secara spesifik serta hanya akan digunakan apabila terdapat keperluan," ujarnya tanpa memberikan butiran lanjut.

Artikel Berkaitan:

Akta Darurat itu dilaksanakan selepas pihak berkuasa dilaporkan menahan 11 individu bersenjata berbahaya termasuk raifal dan pistol yang merancang tindakan keganasan ke atas pihak berkuasa di lintasan sempadan, sehari selepas lintasan sempadan utama AS-Kanada di Ontario berjaya disuraikan. - AFP