22,133 kes baharu, hanya 146 kategori 3 hingga 5

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA- [DIKEMASKINI] Malaysia merekodkan bilangan kes positif Covid-19 melepasi 20,000 setiap hari selama lima hari berturut-turut sejak Jumaat lalu.

Terbaharu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencatatkan 22,133 kes pada Selasa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah yang dilaporkan, 21,987 kes atau 99.34 peratus merupakan kategori satu dan dua.

"Bagi kategori tiga hingga lima sebanyak 146 kes direkodkan," katanya.

Menurutnya, mengikut pecahan, seramai 5,831 pesakit berada pada kategori satu dan 16,156 lagi kategori dua.

"Kategori tiga pula 102 pesakit, kategori empat (24), kategori lima (20)," katanya.

Beliau berkata, terdapat 30 kes tidak vaksinasi atau belum lengkap vaksinasi bagi kategori tiga hingga lima.

"79 kes telah menerima dua dos vaksin namun belum menerima dos penggalak, 58 kes berumur 60 tahun dan ke atas serta seorang ibu mengandung," katanya dalam kenyataan.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 46 kes mempunyai komorbid dan 15 telah meninggal dunia di mana dua adalah kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

"Jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di negara ini adalah 3,083,683 kes," katanya.

Ujarnya, sebanyak 194 kes kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 120 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

"Dimaklumkan bahawa meskipun semasa kes diuji dan baharu didiagnosa kebanyakan pesakit adalah pada kategori yang rendah, namun dalam hari-hari berikutnya ada kes yang boleh merosot ke kategori yang lebih tinggi atau sebaliknya lalu dimasukkan ke hospital," katanya.

Tambah beliau, sehingga Selasa sebanyak 1,432 kes baharu Covid-19 dimasukkan ke hospital.

"Daripada kes ini, 505 kes adalah kategori tiga hingga lima dan 927 kategori satu dan dua," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, 25 kes baharu telah dimasukkan ke ICU dan 1407 kes baharu telah ditempatkan di katil biasa.

Pada yang sama, katanya, 984 kes Covid-19 telah didiscaj daripada ICU dan katil biasa di hospital.

"Antara sebab kemasukan pesakit kategori satu dan dua ke hospital adalah baru dikenal pasti menghidap penyakit tidak berjangkit yang tidak terkawal seperti darah tinggi atau kencing manis, penjaga kepada pesakit pediatrik dan geriatrik, kes obstetrik yang memerlukan pemantau rapi, kemasukan melalui wad kecemasan dan kes kanak-kanak," katanya.

Menurutnya, KKM turut merekodkan 7,584 kes sembuh dengan jumlah kumulatif kes 2,868,538.

Sementara itu, 16 kluster baharu dikenal pasti KKM menjadikan jumlah keseluruhannya, 6,629 kluster.

"Daripada jumlah itu, 6,185 telah diisytiharkan tamat manakala 444 kluster masih aktif," katanya.