Penternak ayam diberi tempoh empat bulan maksimum pengeluaran

Ronald (kiri) beramah mesra dengan anggota CDERT FAMA pada majlis Pelancaran Penubuhan CDERT FAMA dan Penyampaian Watikah Pelantikan Pegawai Bersekutu APM di Institut Latihan FAMA pada Selasa.
Ronald (kiri) beramah mesra dengan anggota CDERT FAMA pada majlis Pelancaran Penubuhan CDERT FAMA dan Penyampaian Watikah Pelantikan Pegawai Bersekutu APM di Institut Latihan FAMA pada Selasa.
A
A
A

PORT DICKSON - Kerajaan memberi tempoh empat bulan kepada pihak industri ternakan ayam untuk memaksimumkan semula kapasiti pengeluaran seperti sedia kala.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia susulan pemberian subsidi 60 sen sekilogram ayam kepada penternak berkuat kuasa pada 5 Februari lalu yang diharap dapat menstabilkan semula bekalan.

Menurutnya, kerajaan baharu sahaja mengumumkan pemberian subsidi dan sedang dalam proses libat urus dengan pihak industri.

"Kerajaan mendengar masalah dihadapi pihak industri dan telah ambil tindakan yang perlu bagi menampung sedikit implikasi kenaikan kos pengeluaran ayam negara. Diharap tindakan pemberian subsidi dapat kembalikan semula pengeluaran ayam dan telur.

"Kita bagi tempoh empat bulan kepada mereka kerana untuk menternak ayam memerlukan tempoh antara 35 hingga 40 hari," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas hadir pada majlis Pelancaran Penubuhan Pasukan Sokongan Tindak Balas Kecemasan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (CDERT FAMA) dan Penyampaian Watikah Pelantikan Pegawai Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Institut Latihan FAMA di sini pada Selasa.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri(Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Ronald berkata, pengeluaran ayam tempatan sebenarnya mencukupi, tetapi berdepan masalah kebelakangan ini disebabkan beberapa faktor yang kerajaan kini sedang berusaha tanganinya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, langkah kerajaan menambah bekalan import ayam bulat dari luar negara juga hanya bersifat sementara bagi menampung kekurangan bekalan.

"Selepas keadaan kembali stabil, kita akan hentikan dan ia bergantung kepada kapasiti pengeluaran pihak industri.

"Selama ini, kita hanya import keratan ayam saja dan harapnya pihak industri akan sama-sama membantu untuk stabilkan semula pengeluaran ayam dan telur," katanya.

Selain itu katanya, pihak industri juga diharap dapat menyahut seruan kerajaan untuk menceburi projek tanaman jagung untuk makanan haiwan bagi mengatasi isu dedak import mahal.