Layan panggilan 'scammer' punca ramai jadi mangsa
KUANTAN - [DIKEMASKINI] Tindakan melayan panggilan daripada pihak tidak dikenali antara punca ramai yang terus menjadi mangsa sindiket penipuan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, perbuatan itu telah mendedahkan mangsa kepada manipulasi sindiket penipuan yang menggunakan pelbagai modus operandi hingga terjerat dan mengalami kerugian.
Menurutnya, langkah terbaik bagi mengelak ditipu adalah dengan tidak melayan panggilan yang mencurigakan walaupun pemanggil memperkenalkan diri sebagai polis atau mana-mana pegawai dari agensi lain.
"Berdasarkan laporan yang dibuat mangsa sebelum ini, ada dalam kalangan mereka mengakui tahu bahawa panggilan itu daripada 'scammer'.
"Disebabkan mereka melayan panggilan itu, ada antara mereka terjerat kerana penipu ini bijak memanipulasi mangsa misalnya dengan kaitan kes-kes jenayah serta akibat sekiranya tidak memberikan kerjasama," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan (Februari) Kontinjen Pahang dan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Rendah Polis (PRP) serta Penyerahan Kenderaan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang (IPK) di sini pada Selasa.
Turut hadir timbalannya, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri.
Ramli berkata, mangsa yang dikaitkan dengan kes-kes jenayah itu ramai yang akhirnya terpengaruh walaupun tidak melakukan jenayah seperti didakwa.
"Lebih-lebih lagi bagi golongan berpendidikan dan berkedudukan tinggi. Golongan ini lebih mudah menjadi mangsa kerana dakwaan terlibat dengan salah laku jenayah boleh menjejaskan imej, maruah dan reputasi mereka.
"Sebab itu kita dapati golongan ini juga tidak terkecuali menjadi mangsa malah nilai kerugian juga lebih besar," katanya.
Justeru katanya, isu itu terus berlaku kerana sikap masyarakat yang terus membuka peluang kepada penipu untuk bertindak.
"Walaupun pelbagai langkah dilaksanakan bagi menyedarkan masyarakat dalam isu ini, mungkin ada lagi yang tidak sampai maklumat.
"Pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJN) sentiasa ke hadapan dalam menguar-uarkan kes-kes penipuan ini melalui media selain kempen kesedaran yang berterusan," katanya.
Tambah beliau, sebanyak 169 kes jenayah komersial telah dilaporkan di negeri ini sepanjang Januari lalu dengan nilai kerugian mencecah RM4.8 juta.
Dalam perkembangan lain, Ramli berkata, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang menerima 11 van jenis Higer Ace berharga RM181,000 setiap satu untuk digunakan dalam penugasan pegawai dan anggota.
Menurutnya, setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) akan menerima satu unit kenderaan tersebut untuk keperluan pengangkutan di IPD masing-masing.
"Kenderaan ini sesuai digunakan untuk sebarang tugasan yang perlu membawa anggota lebih ramai," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!