Setiu banjir, satu PPS dibuka

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) (kanan) sedang melakukan pemantauan susulan hujan berterusan melanda di beberapa kawasan di Terengganu sejak Isnin. - Foto APM
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) (kanan) sedang melakukan pemantauan susulan hujan berterusan melanda di beberapa kawasan di Terengganu sejak Isnin. - Foto APM
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Sebuah keluarga di Kampung Bahagia, Setiu dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka dinaiki air susulan hujan lebat yang melanda kawasan itu sejak Isnin.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata, empat mangsa terdiri dua orang dewasa dan dua kanak-kanak itu ditempatkan di Balai Raya Kampung Bahagia yang mula diaktifkan pada jam 11 pagi Selasa.

“Setakat ini hanya satu PPS dibuka bagi menempatkan mangsa banjir dan keadaan cuaca semasa masih lagi hujan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Menurut beliau, hujan lebat berterusan sekitar 20 hingga 120 milimeter (mm) bermula Isnin di daerah Besut, Setiu, Hulu Terengganu, hulu Kemaman dan hulu Dungun menyebabkan paras air sungai utama turut meningkat.

Sehingga jam 11 pagi, dua sungai iaitu Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu dan Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu sudah merekodkan bacaan melepasi paras amaran.

Kenyataan itu berkata, enam sungai lain di Setiu, Marang dan Kemaman juga melepasi paras waspada.

“Sungai itu adalah Sungai Nerus di Kampung Bukit, Sungai Setiu di Kampung Besut, Sungai Nerus di Kampung Langkap, Sungai Nerus di Kampung Bukit, Sungai Marang di Pengkalan Berangan dan Sungai Tebak di Jambatan Tebak.

“Selain itu, sungai-sungai lain masih berada pada paras normal,” katanya.

Artikel Berkaitan: