Calon Muda yakin tiada sabotaj di DUN Puteri Wangsa

Amira Aisya
Amira Aisya
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yakin pertikaian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini tidak akan menjejaskan kempen atau akan berlaku sabotaj dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Calon kerusi DUN Puteri Wangsa daripada Muda, Amira Aisya Abd Aziz berkata, ini kerana persefahaman sudah dicapai dengan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) sebelum kerusi itu diberikan kepada Muda.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Muda menghormati Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis Maharan yang sebelum ini tidak berpuas hati kerusi tersebut diberikan kepada Muda.

"Saya amat menghormati semua rakan dalam parti-parti pembangkang seperti PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang merupakan kawan-kawan dalam PRN negeri Johor.

"Saya juga menghormati Napsiah yang telah melakukan banyak kerja-kerja baik di kawasan Puteri Wangsa. Namun begitu saya telah diamanahkan untuk membawa nama Muda dan juga nama 'our partners' (rakan kita) di DUN Puteri Wangsa.

"Saya pasti Napsiah juga seorang yang sangat senior dalam politik dan beliau juga memahami amanah tersebut. Ia tidak akan mengganggu gerak kerja saya di sini dan pastikan gerak kerja diperkemas," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkannya sebagai calon kerusi DUN Puteri Wangsa dalam satu majlis di Taman Eco Cascadia di sini pada Isnin malam.

Amira Aisya, 27, merupakan anak kelahiran Kampung Melayu Majidee di sini dan merupakan calon pertama diumumkan Muda untuk bertanding dalam PRN Johor sementara calon lain akan diumum selepas ini.

Artikel Berkaitan:

Pada 9 Februari, Napsiah meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan keputusan Amanah yang menyerahkan kerusi DUN Puteri Wangsa kepada Muda dan menganggap tindakan itu sebagai satu pengkhianatan.

Kerusi Puteri Wangsa diserahkan kepada Amanah melalui rundingan yang dijalankan dalam kalangan pemimpin parti komponen gabungan tersebut.

Mengulas lanjut, Amira Aisya bersyukur dan menganggap isu tersebut sudah selesai terutama selepas Muda mementerai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan DAP dan Amanah baru-baru ini.

"Dalam MoU tersebut kita juga telah tandatangani bahawa Muda akan membantu calon-calon DAP dan Amanah dan mereka juga akan membantu kami, 'together we stronger' (bersatu kita teguh). Untuk PKR pula sebenarnya sesi rundingan bersama PKR belum tamat," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Muda semakin mendapat tempat dan kuat pengaruh di negeri ini sejak dua tahun penubuhannya di bawah kepimpinan Pengerusi Muda Johor, Mohd Azrol Ab Rahani.