Kamera badan: Cuepacs saran kaji dulu sebelum boleh laksana

 Adnan
Adnan
A
A
A

SHAH ALAM- Kajian secara terperinci perlu dilakukan sebelum penggunaan kamera badan dilaksanakan oleh agensi penguatkuasaan terlibat.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata langkah itu perlu agar pelaksanaan itu memberikan nilai tambah yang tinggi dalam penggunaannya.

Menurutnya, Cuepacs juga memohon supaya penggunaan kamera badan dibekalkan hendaklah berkualiti tinggi, ringan dan bersesuaian dengan prosedur operasi standard (SOP) yang efektif supaya pegawai dan anggota yang menggunakan lebih selesa dan membantu mencapai objektif yang ditetapkan.

“Cuepacs mencadangkan kamera badan digunakan dibuat kajian keberkesanannya terlebih dahulu untuk suatu tempoh yang sesuai, sebelum diperluaskan kepada semua pegawai dan anggota terlibat bagi memastikan penggunaannya memberikan impak tertinggi kepada peningkatan Integriti dan reputasi agensi penguatkuasaan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Malah katanya, langkah melaksanakan penggunaan kamera badan kepada pegawai penguat kuasa seperti polis, Jabatan Pengangkutan Awam (JPJ), Kastam dan Jabatan Imigresen mampu meningkatkan lagi kepercayaan masyarakat awam kepada perkhidmatan penguatkuasaan oleh agensi kerajaan.

“Selain menyelesaikan isu integriti, ia juga boleh melindungi anggota penguat kuasa daripada menjadi mangsa penganiayaan apabila dituduh tanpa sebarang bukti yang kukuh

“Tambahan pula zaman media sosial membolehkan orang ramai merekod video dan menyebarkan tanpa mendapatkan pengesahan kebenarannya terlebih dahulu,” ujarnya.

Sebelum ini pemasangan kamera badan melibatkan anggota dan penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dijangka dilaksana pada Jun tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, pemasangan kamera melibatkan seluruh anggota dan pegawai Kastam yang bertugas di lapangan akan dilakukan secara berperingkat kerana membabitkan peruntukan yang besar.

Tambah Adnan lagi, melalui penggunaan kamera badan ini ia sedikit sebanyak melindungi anggota penguat kuasa daripada tuduhan bersifat berat sebelah atau bukti daripada sebelah pihak sahaja.

“Selain itu, penggunaan kamera badan juga boleh memaparkan aspek positif dalam tugasan yang dilakukan sekali gus meningkatkan keyakinan awam,” tegasnya.

Beliau berkata, tiada lagi isu yang boleh dijadikan alasan oleh orang awam untuk menafikan apa jua tindakan mereka yang bertentangan undang-undang negara.