Kadar pertumbuhan penduduk, purata isi rumah menurun

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kadar pertumbuhan penduduk tahunan dan purata isi rumah (IR) persendirian di negara ini menunjukkan penurunan dalam tempoh 10 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Laporan Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci Malaysia 2020) mendapati kadar pertumbuhan penduduk tahunan adalah 1.7 peratus berbanding 2.1 peratus pada tahun 2010.

Menurutnya, bagi purata IR persendirian, jumlahnya menurun daripada 4.3 peratus pada 2010 kepada 3.8 peratus pada 2020.

"Kadar pertumbuhan penduduk menunjukkan penurunan, yang ada kaitan dengan tahap kesuburan dan bilangan anak.

"Selain itu, satu IR sekarang adalah 3.8 orang, jadi terdiri daripada mak, ayah dan tidak sampai dua orang pun (anak). Satu keluarga hanya ada 3.8 orang," katanya pada sidang akhbar selepas Pelancaran Laporan Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini pada Isnin.

Mustapa menjelaskan, dari segi purata IR persendirian, Kelantan dan Sabah merekodkan purata mengatasi 3.8 yang dicatatkan di peringkat nasional dengan masing-masing merekodkan 4.7 peratus.

"Negeri yang merekodkan purata paling kecil atau rendah ialah Putrajaya, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang iaitu 3.5 peratus," ujarnya.

Beliau berkata, kadar pertumbuhan yang semakin berkurang itu juga menjadi salah satu faktor utama berlakunya fenomena sekolah kurang murid terutama di kampung dan kawasan Felda.

Artikel Berkaitan:

"Di beberapa sekolah seluruh negara berlaku situasi banyak bilik darjah yang kosong kerana sekiranya sesebuah sekolah itu ada 20 bilik darjah, yang diguna cuma enam hingga 10 buah sahaja," tambah beliau.