Manifesto BN tidak janji bulan bintang: Asyraf Wajdi

Asyraf Wajdi (tengah) bersama-sama peserta selepas perasmian program Pick Kids Pengangkutan Awam Percuma Khusus Untuk Penduduk Pasir Gudang di Pejabat UMNO Bahagian Pasir Gudang, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, pada Ahad.
Asyraf Wajdi (tengah) bersama-sama peserta selepas perasmian program Pick Kids Pengangkutan Awam Percuma Khusus Untuk Penduduk Pasir Gudang di Pejabat UMNO Bahagian Pasir Gudang, Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, pada Ahad.
A
A
A

PASIR GUDANG - Manifesto Barisan Nasional (BN) tidak akan menjanjikan bulan dan bintang kepada pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, gabungan itu tidak akan menabur janji palsu sebaliknya menawarkan perkara yang realistik dengan 'tagline' Kestabilan untuk Kemakmuran.

Jelas beliau, manifesto BN nanti adalah selaras dengan pendirian untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang kuat, mantap dan stabil sekali gus rakyat boleh mula hidup dalam keadaan yang harmoni serta sejahtera.

"Ini akan memberikan kesan yang dipanggil kesan 'snow balling impact' ataupun kesan-kesan gandaan yang lain, termasuklah ekonomi dan pelaburan terutamanya di Johor.

"Kalau kita tengok kedudukan negeri Johor sekarang ini berterusan di nombor tujuh atau lapan baik daripada segi pelaburan langsung tempatan (DDI) atau asing (FDI) berbanding dengan dahulu," katanya.

Beliau berkata dalam sidang akhbar selepas program Pick Kids Pengangkutan Awam Percuma Khusus Untuk Penduduk Pasir Gudang di Pejabat UMNO Bahagian Pasir Gudang, Bandar Seri Alam di sini pada Ahad.

Turut hadir Ketua Pemuda BN Bahagian Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros.

Dr Asyraf Wajdi berkata, sebelum ini Johor sentiasa menjadi nombor satu daripada segi pelaburan DDI atau FDI sementara perkembangan terkini kedudukan negeri itu memberi kesan terhadap penawaran pekerjaan terutama lepasan universiti dan kolej-kolej vokasional.

Artikel Berkaitan:

"Kalau ramai pelabur keluar ataupun tidak membuka kilang atau menawarkan pekerjaan mana mungkin mereka boleh hidup dalam suasana pandemik dan suasana yang ada pada hari ini?

"Jadi segala isu yang berlegar dalam kalangan orang muda akhirnya, pergi kepada satu paksi pula iaitu kestabilan yang akan menjamin kemakmuran, sebab itulah secara khususnya nanti akan diumumkan nanti," katanya.