Nelayan tanpa kerakyatan mampu rancakan industri perikanan negara

Nik Muhammad Zawawi (kanan) meninjau permasalahan yang dialami golongan nelayan di Kampung Pachakan, Pasir Puteh pada Ahad.
Nik Muhammad Zawawi (kanan) meninjau permasalahan yang dialami golongan nelayan di Kampung Pachakan, Pasir Puteh pada Ahad.
A
A
A

PASIR PUTEH - Kerajaan sedia membawa masuk golongan nelayan yang tidak mempunyai kerakyatan untuk berkhidmat dalam sektor perikanan dalam usaha merancakkan pengeluaran hasil laut negara pada masa hadapan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II (MAFI II), Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, langkah tersebut dilihat tepat berikutan golongan tersebut mempunyai daya tahan yang tinggi untuk berada di laut dalam bagi tempoh jangka masa panjang sehingga berbulan-bulan lamanya.

"Hasil maklumat, kita dapati sebahagian daripada golongan ini berada di lokap; sektor perladangan dan sebagainya.

"Hal ini kerana mereka adalah pemain utama dalam sektor perikanan sekali gus mampu menjana hasil yang banyak kepada negara," katanya semasa turun padang meninjau permasalahan yang dialami nelayan di Kampung Pachakan di sini pada Ahad.

Menurutnya, lebih 7,000 golongan nelayan yang tidak mempunyai kerakyatan dikesan berada di Kelantan ketika ini.

Beliau berkata, MAFI telah membawa perkara tersebut kepada pengetahuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mendapatkan dokumen bagi membolehkan mereka berkhidmat di sektor berkenaan.

Ahli Parlimen Pasir Puteh itu berkata, sebahagian daripada permohonan golongan tersebut telah diproses oleh kerajaan.

"Saya yakin proses ini akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

"Untuk makluman semua yang kita proses ini telah melalui tapisan ketat bagi memastikan mereka tidak mempunyai rekod jenayah," jelasnya.

Nik Muhammad Zawawi berkata, hasil pemerhatian yang dibuat kebanyakan halangan utama yang dihadapi oleh tenaga kerja tempatan ialah masa.

Menurutnya, nelayan tempatan tidak mampu untuk bertahan dalam tempoh yang lama di lautan, kalau masa singkat ia dilihat tiada halangan untuk mereka.

"Kadang-kadang keluar satu minggu dapat ikan tak apalah, kalau gagal ia mungkin boleh melemahkan semangat mereka.

"Disebabkan itu nelayan asing diperlukan untuk sektor perikanan," katanya.