Tottenham perlu lebih bijak urus permainan

Antonio Conte - Foto AFP
Antonio Conte - Foto AFP
A
A
A

TOTTENHAM Hotspur perlu lebih bijak mencari jalan untuk menguruskan perlawanan dengan lebih baik selepas melepaskan dua gol pada lewat aksi ketika tewas 2-3 kepada Southampton dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Tottenham Hotspur, Khamis lalu.

Malah menurut pengendali The Lilywhites, Antonio Conte mahu para pemain kelab London itu menggunakan setiap pengalaman dalam perlawanan sebelum ini untuk mematangkan corak permainan masing-masing.

“Sejujurnya semasa permainan sememangnya terdapat fasa berbeza, namun sebaiknya anda perlu mempunyai pengalaman untuk mengurus, memahami masa terbaik perlu mengambil risiko semasa perlawanan, dan paling penting perlu mengekalkan keputusan dengan cara yang terbaik.

“Para pemain Tottenham begitu cepat melepaskan gol kepada pasukan lawan setiap kali selesa mendahului dan situasi ini berterusan sejak kebelakangan ini.

“Apabila anda menjaringkan gol, inilah masanya untuk menjadi kuat, kompak, jangan hilang sabar, jangan hilang fokus,” kata Conte menjelang perlawanan menentang Wolverhampton Wanderers.

Untuk rekod, Tottenham terpaksa berputih mata berikutan kealpaan bahagian pertahanan pada penghujung babak apabila tunduk 3-2 sekali gus menyaksikan kelab London tersebut mengumpul 36 mata selepas mengharungi 21 perlawanan.

Pada masa sama Conte menegaskan pemain tengah Eric Dier dan Oliver Skipp serta tonggak pertahanan Japhet Tanganga diketepikan kerana masih dibelenggu kecederaan, namun pemain baharu Dejan Kulusevski dan Rodrigo Bentancur akan membuat penampilan masing-masing berdepan Wolves.

Tottenham juga berdepan risiko menurunkan Son Heung-min dan Cristian Romero buat kali ketiga dalam seminggu selepas kedua-duanya baru pulih dari kecederaan setelah skuad itu kehilangan ramai pemain.

Artikel Berkaitan:

“Kami memerlukan mereka kerana kedua-duanya merupakan pemain penting terutamanya di bahagian belakang. Tambahan pula ketiadaan Dier, sekali gus memerlukan Romero bermain di posisi tersebut.

“Sonny, amat diperlukan di bahagian hadapan... Saya rasa saya tidak memberitahu anda bahawa kedua-dua mereka ini adalah pemain penting pada ketika ini. Ya, mereka akan bermain,” ujar Conte.