Kerajaan salur RM20.339 bilion kepada majikan melalui PSU

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan secara keseluruhannya telah menyalurkan sebanyak RM20.339 bilion kepada 357,520 majikan melalui Program Subsidi Upah (PSU) bagi mengekalkan penggajian 2,953,741 pekerja tempatan dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, setakat 4 Februari 2022, sebanyak RM14.643 juta telah disalurkan kepada 1,482 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian 24,405 pekerja.

Katanya dengan peruntukan sebanyak RM600 juta di bawah Bajet 2022, kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan meneruskan pelaksanaan PSU bersasar kepada pengusaha pelancongan yang mengalami penurunan pendapatan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada jumlah jualan atau pendapatan pada Oktober 2021 hingga Disember 2021 berbanding mana-mana bulan pada 2019 hingga 2021 sebelum pandemik Covid-19.

"Permohonan telah dibuka sejak 1 Jan 2022 hingga 31 Mac 2022 namun majikan dari sektor dan aktiviti industri yang tidak tersenarai tetapi masih terjejas akibat Covid-19 masih boleh mengemukakan rayuan secara dalam talian kepada Perkeso,” katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) Ke-84 yang dikeluarkan pada Sabtu.

Beliau berkata, untuk maklumat lanjut, boleh layari https://www.perkeso.gov.my/bajet-2022/sip-bajet-2022.html.

Bagi PSU 4.0, Tengku Zafrul berkata, setakat 4 Februari 2022, sebanyak RM2.270 bilion telah disalurkan kepada 146,519 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian 1,755,737 pekerja.

Menurutnya, kerajaan melaksanakan PSU 4.0 dengan peruntukan sebanyak RM3.8 bilion yang dijangka memanfaatkan 2.5 juta pekerja.

"Had gaji RM4,000 juga telah dilonggarkan yang membolehkan majikan memohon PSU 4.0 bagi pekerjanya yang bergaji lebih daripada RM4,000,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai Dana Pinjaman Mudah Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), katanya jumlah permohonan yang telah diluluskan oleh bank-bank tempatan dan disetuju terima oleh PKS setakat 4 Februari 2022, sebanyak RM12.59 bilion yang akan memberi manfaat kepada 26,379 PKS.

Tambah beliau, jumlah ini termasuk dana Kemudahan Bantuan Khas (SRF), Kemudahan Automasi dan Pendigitalan (ADF), Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (AES) dan Kemudahan Agromakanan (AF).

Tengku Zafrul berkata, walaupun dana SRF telah dimanfaatkan sepenuhnya, PKS masih boleh memohon skim pembiayaan yang masih tersedia melalui Tabung BNM seperti ADF, AES dan AF.

Beliau memberitahu, PKS juga boleh mendapatkan pembiayaan lain melalui platform imSME di pautan https://imsme.com.my/portal/bm/ yang boleh membantu dalam membuat padanan pembiayaan yang diperlukan dengan pelbagai penyedia dana untuk PKS.