PRN Johor: Muda umum calon minggu depan

Syed Saddiq (tengah) ketika sidang akbar selepas Majlis Pelancaran Muda di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Syed Saddiq (tengah) ketika sidang akbar selepas Majlis Pelancaran Muda di Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan mengumumkan senarai calonnya yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bermula minggu hadapan.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, bagaimanapun keputusan pemilihan calon tersebut akan dilakukan secara berperingkat.

“Berkenaan nama calon dan di mana mereka akan bertanding masih lagi dibincangkan di peringkat Muda dan akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat.

“Tetapi apa yang boleh saya katakan calon pertama akan diumumkan pada minggu depan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Muda di sini, pada Jumaat.

Ditanya mengenai kriteria calon yang akan bertanding pada PRN Johor, beliau berkata, ia terdiri daripada pelbagai latar belakang, agama dan bangsa, malah lebih ramai perwakilan wanita yang akan diketengahkan.

“Selain itu, mereka yang mempunyai pengalaman berkhidmat terutama dari segi penggubalan dasar.

“Justeru, fokus kami bukan sekadar mengemukakan calon-calon Muda tetapi turut mengemukakan solusi-solusi Muda kepada rakyat Johor untuk membawa pembaharuan berskala besar,” katanya.

Tambah Syed Saddiq, Muda bukan hanya tampil sebagai parti biasa, malah menjadi parti yang akan mengubah landskap politik bermula di Johor dan seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Terkini, parti Muda telah dianggotai seramai 76,000 ahli di seluruh negara.