1,475 kertas siasatan dibuka babit kes tipu di Pahang

Mohd Wazir
Mohd Wazir
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 1,475 kertas siasatan dibuka melibatkan kes penipuan di Pahang sepanjang tahun lalu.

Dalam tempoh itu, nilai kerugian ditanggung mangsa terlibat mencecah lebih RM43.4 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, daripada keseluruhan kertas siasatan yang dibuka, penipuan melibatkan jual beli dalam talian merekodkan jumlah tertinggi dengan 658 kes manakala nilai kerugian lebih RM9.3 juta.

Menurutnya, penipuan pinjaman tidak wujud sebanyak 332 kes dengan nilai kerugian lebih RM6.07 juta diikuti pelaburan tidak wujud, 166 kes (RM13.09 juta); Macau Scam, 129 kes (RM10.58 juta); penipuan penyamaran, 103 kes (RM0.97 juta) dan Love Scam, 87 kes (RM3.39 juta).

"Dalam tempoh Januari tahun ini, sebanyak 140 kertas siasatan telah dibuka dengan nilai kerugian lebih RM2.8 juta," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Wazir berkata, daripada keseluruhan kes sepanjang Januari tahun ini, kes tipu jual beli dalam talian masih mencatatkan kes tertinggi dengan 45 kes melibatkan nilai kerugian RM699,959.

"Bagi kes pinjaman tidak wujud sebanyak 29 kertas siasatan dibuka dengan nilai kerugian RM231,058 diikuti Macau Scam, 28 kes (RM1.4 juta); pelaburan tidak wujud, 20 kes (RM173,451); penyamaran, 12 kes (RM70,166) dan Afrika Scam atau Love Scam, enam kes (RM281,200)," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bagi kesalahan jenayah komersial lain, sebanyak tiga kertas siasatan dibuka bagi kes pecah amanah di bawah Seksyen 406 dan Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

"Bagi kes jenayah siber, juga tiga kertas siasatan dibuka kesalahan di bawah Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dengan empat kes," katanya.