PRN Johor: Calon BN diumum tiga hari sebelum hari penamaan calon

Hasni menandatangani plak sebagai simbolik majlis pelancaran The Common Ground Works Sdn Bhd di Bandar Medini, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, pada Khamis.
Hasni menandatangani plak sebagai simbolik majlis pelancaran The Common Ground Works Sdn Bhd di Bandar Medini, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, pada Khamis.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Senarai calon Barisan Nasional (BN) akan diumumkan tiga hari sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 26 Februari ini.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, gabungan itu akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

"BN sekarang sedang dalam proses memuktamadkan pembahagian kerusi dengan rakan-rakan komponen iaitu MCA dan MIC, kita juga sedang timbang (untuk memberikan kerusi kepada) Friends of BN," katanya.

Menteri Besar Johor itu berkata demikian dalam sidang akbar selepas majlis pelancaran The Common Ground Works Sdn Bhd (Common Ground) di Bandar Medini, Kota Iskandar di sini pada Khamis.

Pada Rabu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan PRN Johor akan diadakan pada 12 Mac, manakala tarikh mengundi awal pada 8 Mac dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari.

Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor berkata, calon BN itu akan menampilkan gabungan muka baharu, wanita, muda serta golongan profesional.

"Keputusan menggabungkan calon tersebut adalah selepas mendengar pandangan dan saranan dibuat masyarakat dan akar umbi," katanya.

Ditanya mengenai peratusan muka baharu yang akan ditampilkan sebagai calon BN, perkara tersebut masih belum ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Soal peratusan calon muka baharu sukar untuk saya tetapkan sepertimana yang dilakukan di PRN Melaka iaitu 80 peratus muka baharu, ini kerana Johor dua kali ganda besar jadi ramai calon yang perlu dikenal pasti," katanya.

Sementara itu, Hasni nekad untuk bertanding di kerusi DUN Benut dalam PRN Johor yang sebelum disandangnya selama tiga penggal berturut-turut.

"Saya akan meneruskan perjuangan saya di Benut," katanya yang menjadi wakil rakyat di kawasan itu sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12).

DUN Benut antara dua kerusi DUN yang terletak di Parlimen Pontian, selain DUN Pulai Sebatang.

Pada PRU14 lalu, Hasni menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Zulkifly Tasrep dan Mohd Firdaus Jaafar (Pas) dengan majoriti 4,447 undi.