PRN Johor: PH bakal umum tawaran aspek ekonomi, sosial dan politik

Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dan Wilfred Madius.
Anwar Ibrahim, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dan Wilfred Madius.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pakatan Harapan (PH) akan mengumumkan siri tawaran di bawah kempen ‘Johor Bangkit: Maju, Bermaruah’ sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, merangkumi aspek pembangunan ekonomi, pemantapan sosial, serta reformasi politik.

Majlis Presiden PH dalam kenyataan bersama pada Khamis menyatakan perkara itu yang dipersetujui dalam mesyuarat berkala majlis itu pada Rabu akan diumumkan sebelum bermulanya kempen pilihan raya.

Mesyuarat itu juga memutuskan untuk mengadakan siri jelajah penamaan calon-calon PH bagi kerusi DUN yang ditandingi sejurus selepas calon parti-parti dimuktamadkan dalam masa terdekat.

"Ini demi menyatakan kesediaan PH menawarkan saf kepimpinan yang mampu membentuk kerajaan negeri Johor yang lebih stabil dan bersedia membangunkan Johor pasca pandemik,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan bersama berkenaan dibuat Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, pada Khamis

Dalam perkembangan lain, Majlis Presiden PH menyatakan Rang Undang-undang Anti Lompat Parti yang dibawa ke sesi libat urus bersama Ahli-Ahli Parlimen semalam adalah bertepatan dengan hasrat PH dan kerajaan seperti termaktub dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak.

Menurut Perkara 2.4 MoU itu RUU berkenaan perlu dibentang dan diluluskan di Parlimen dalam tempoh tidak lewat dari Mesyuarat Pertama Parlimen, iaitu sebelum atau pada 24 Mac depan.

MoU Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik ditandatangani antara kerajaan dan PH pada 13 September 2021 antara lain bersetuju melakukan transformasi melibatkan pelan pemulihan Covid-19, pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia MA63 dan penubuhan Jawatankuasa Pemandu. - Bernama

Artikel Berkaitan: