Pembukaan semula sempadan ditentukan PM

Hishammuddin
Hishammuddin
A
A
A

BUTTERWORTH - Keputusan mengenai pembukaan semula sempadan negara sepenuhnya akan diputuskan selepas dibawa ke kabinet atau Jawatankuasa Khas Mengenai Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, perkara itu bukan sesuatu yang mudah dan akan turut dibincangkan terlebih dahulu melibatkan beberapa kementerian antaranya Kementerian Pertahanan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan.

Menurutnya, hasil perbincangan tersebut akan dibawa ke Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 untuk diteliti sebelum ke kabinet atau jawatankuasa khas.

"Apa yang diumumkan oleh Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa hanyalah cadangan untuk pembukaan semula sepenuhnyasempadan negara seawal 1 Mac.

“Ia juga akan dibincangkan oleh kita (pada Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19) dan kita mengalu-alukan cadangan beliau itu. Bagaimanapun, keputusan itu tidak boleh dibuat di peringkat Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 mahupun MPN.

“Perkara ini perlu dibawa ke kabinet atau Jawatankuasa Khas Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri," katanya pada sidang media di Pangkalan Udara Butterworth pada Khamis.

Sebelum ini, seorang Ahli Parlimen DAP, Teo Nie Ching telah mempersoalkan sama ada keputusan pembukaan semula sempadan ini dibuat oleh MPN atau Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19.

Mengulas mengenai perkara itu, Hishammuddin berkata, adalah perkara biasa bagi ahli Parlimen untuk membuat sebarang dakwaan atau mencetuskan persoalan.

Artikel Berkaitan:

"Kalau nak kata tiada komunikasi antara MPN dan Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19, itu tidak benar.

"Ini kerana ahli MPN dan Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 adalah orang yang sama. Cuma kedua-dua, MPN dan Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19 tidak mempunyai mandat untuk membuat sebarang keputusan,” katanya.

Pada Selasa, Majlis Pemulihan Negara (MPN) turut mengesyorkan supaya sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac ini tanpa keperluan kuarantin wajib.

Muhyiddin berkata, bagaimanapun ujian saringan Covid-19 sebelum dan sejurus tiba di pintu sempadan negara perlu dilakukan mengikut syor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, pembukaan sempadan perlu dilaksanakan secara terancang berdasarkan penilaian risiko semasa selain pembukaan sempadan tidak terhad kepada negara tertentu sebaliknya terbuka untuk semua negara.