ZPP sasar kutipan RM161.5 juta

Ahmad Zakiyuddin (dua dari kiri) bersama Roslan (dua dari kanan) menunjukkan kad laporan prestasi ZPP pada tahun 2021.
Ahmad Zakiyuddin (dua dari kiri) bersama Roslan (dua dari kanan) menunjukkan kad laporan prestasi ZPP pada tahun 2021.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Zakat Pulau Pinang (ZPP) menyasarkan kutipan sebanyak RM161.5 juta pada tahun ini berikutan prestasi memberangsangkan dan peningkatan jumlah pembayar zakat pada tahun lalu.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, keyakinan dan komitmen pembayar zakat di negeri ini juga antara faktor ZPP dapat mengekalkan momentum prestasi kutipan selain agihan yang kukuh dan terus berdaya tahan.

Menurutnya, walaupun berdepan dengan cabaran ekonomi berikutan pandemik Covid-19 sepanjang tahun lalu, namun ZPP berjaya mencapai sasaran kutipan bagi tahun 2021 iaitu sebanyak RM147.24 juta.

"Pada 2021, prestasi kutipan zakat harta mencatatkan jumlah sebanyak RM141.21 juta berbanding kutipan pada 2020 yang merekodkan jumlah sebanyak RM125.3 juta iaitu peningkatan sebanyak 12.58 peratus.

"Prestasi kutipan zakat fitrah bagi tahun 2021 pula adalah sebanyak RM6.027 juta berbanding kutipan pada 2020 iaitu sebanyak RM5.58 juta," katanya pada sidang akhbar bagi membentangkan prestasi ZPP bagi 2021, pada Khamis.

Hadir sama Timbalan Yang Dipertua MAINPP, Datuk Roslan Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Pengerusi ZPP memaklumkan bilangan pembayar zakat harta juga meningkat sebanyak 4.96 peratus atau 74,183 orang berbanding 70,677 pembayar pada tahun 2020.

Beliau berkata, jumlah kutipan zakat melalui Skim Sakinah atau potongan gaji bulanan juga mencatatkan peningkatan sebanyak 4.08 peratus iaitu sebanyak RM60.6 juta berbanding tahun 2020 iaitu sebanyak RM58.2 juta.

Artikel Berkaitan:

"Prestasi kutipan zakat harta yang diterima melalui laman portal www.zakatpenang2u.com pada tahun 2021 adalah sebanyak RM3.252 juta berbanding pada tahun 2020 iaitu sebanyak RM88,932 iaitu pertambahan sebanyak RM3,164 juta.

"Peningkatan mendadak pembayaran zakat melalui laman portal ini memberi gambaran bahawa pembayar zakat di Pulau Pinang sudah mula menggemari kaedah pembayaran digital yang mudah dan cepat," katanya.

Mengulas lanjut mengenai prestasi kutipan zakat pada tahun lalu Ahmad Zakiyuddin berkata, peningkatan kutipan zakat disokong dengan penambahan jumlah pembayar zakat harta yang meningkat sebanyak 3,506 pembayar.Kempen berterusan

Ahmad Zakiyuddin ketika membentangkan laporan prestasi ZPP pada Rabu.
Ahmad Zakiyuddin ketika membentangkan laporan prestasi ZPP pada Rabu.

Jelasnya, faktor peningkatan yang dikenal pasti ialah aktiviti dakwah zakat secara agresif dan kempen secara digital yang digerakkan mencapai sasaran walaupun berdepan dengan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) akibat pandemik Covid-19.

Selain itu, katanya kempen media sosial dan kewujudan portal zakatpenang2u.com memberi impak yang tinggi terutama dalam inisiatif pembayaran zakat tanpa tunai (cashless).

Beliau berkata, tahun 2021 telah merekodkan jumlah pembayaran tanpa tunai di semua platform berjumlah RM123.809 juta.

"Zakat KWSP merekodkan peningkatan kutipan yang tertinggi iaitu sebanyak 69.7 peratus berbanding tahun 2020.

"Faktor ini dikenal pasti daripada kempen yang dijalankan kepada masyarakat mengenai pengeluaran I-Sinar, I-Lestari dan I-Citra yang dibenarkan oleh pihak KWSP," katanya.

Beliau turut memaklumkan, sepanjang tahun lalu ZPP telah berjaya mengagihkan sebanyak RM141.55 juta bantuan zakat berbanding pada 2020 yang merekodkan jumlah sebanyak RM126.58 juta.

Namun katanya, berlaku penurunan dalam jumlah penerima zakat pada tahun lalu sebanyak 3.07 peratus atau 40,711 individu berbanding 41,690 penerika pada tahun 2020.

Jelas beliau, penurunan bilangan penerima zakat bagi tahun 2021 adalah kerana skim bantuan awal persekolahan zakat bagi tahun 2022 terpaksa ditangguhkan kepada awal tahun ini di mana pada kebiasaannya diagihkan pada tahun sebelumnya.

Tambahnya, hal itu berlaku ekoran penundaan pembukaan sesi persekolahan tahun 2022 pada Mac 2022.