PRN Johor: Enam calon Muda belum diputuskan

Cheng Ling
Cheng Ling
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masih belum memutuskan siapa calon yang akan bertanding di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 26 Februari ini.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat Muda, Dian Lee Cheng Ling berkata, perkara itu akan diputuskan tidak lama lagi dan pengumuman calon akan dilakukan sendiri oleh Presiden parti, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Semua perkembangan terkini mengenai Muda bagi PRN Johor hanya akan diumumkan oleh (Muda) peringkat pusat. Begitu juga dengan pembahagian tiga kerusi daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Buat masa ini, calon masih belum dinamakan,” katanya ketika ditemui pemberita di Medan Selera Plaza Larkin di sini, pada Khamis.

Sebelum ini, Muda dalam satu kenyataan memaklumkan parti secara rasmi akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sebagai rakan strategik pilihan raya pada PRN Johor hasil rundingan bersama Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

Dalam kenyataan sama, Muda memaklumkan parti diberikan kebenaran untuk bertanding di kerusi DUN Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai yang merupakan bukan kawasan ditandingi kedua-dua parti berkenaan.

Sementara itu, mengulas mengenai isu poster anti korupsi dikeluarkan Penerangan Muda Kedah, Cheng Ling berharap isu itu tidak menjejaskan hubungan bersama PH dan PKR kerana permohonan maaf secara terbuka telah dibuat.

"Kita berharap perkara itu tidak akan menjejaskan hubungan kita dengan parti lain kerana itu bukanlah pendirian Muda secara umumnya," katanya.

Artikel Berkaitan: