'Double standard' dalam isu arak perlu dihentikan

Fahmi Bazlan
Fahmi Bazlan
A
A
A

SHAH ALAM - Sikap ‘double standard’ dalam isu arak di negara ini perlu segera dihentikan, kata Yang Dipertua Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Bahagian Shah Alam, Fahmi Bazlan.

Beliau berkata, akta diwujudkan hanyalah sebagai syarat untuk tindakan yang bakal diambil terhadap peminum arak yang menyebabkan kemudaratan antaranya seperti kemalangan jalan raya.

Menurutnya, bagi 'golongan kayangan' arak dijadikan alat perniagaan malah ada yang menjadikannya sebagai minuman harian walaupun beragama Islam tanpa dikenakan tindakan kerana ia tidak menyebabkan kemalangan.

“Ketinggian darjat agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan makin direndahkan oleh kerana sikap pemimpin Melayu Islam yang sangat bertoleransi demi sokongan undi dan jawatan semata-mata.

“Agama sanggup diketepikan kononnya ia antara sumber utama ekonomi negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Atas sebab itu, beliau berkata, kewujudan premis yang menjual arak semakin bertambah bagai cendawan tumbuh selepas hujan, termasuk di kawasan majoriti penduduknya adalah Melayu.

“Ini realiti sedang berlaku, isu kemalangan jalan raya melibatkan pemandu mabuk, keganasan rumah tangga, seks bebas dan pelbagai jenayah lagi terus meningkat kerana kemudahan ketercapaian arak ini.

"Lebih malang bagi masyarakat kita ia berlaku di kawasan Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN) Melayu, ahli jawatankuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) pun Melayu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, bagaimanapun bukan misi mustahil untuk memperketatkan ketercapaian arak di kedai serbaneka kerana ‘political will’ yang teguh adalah punca kuasa utama dalam isu berkenaan.

“Mulakan langkah pertama di kawasan majoriti Melayu demi kesejahteraan sejagat kerana Perlembagaan dibina bukan hanya sekadar hiasan, tetapi sebagai identiti kebangsaan.

“Sehubungan itu, jangan takut untuk laporkan mengenai sebarang kegiatan membabitkan arak di premis kawasan perumahan anda kerana kami akan mendukung usaha berani anda,” katanya.