KDDI Malaysia taja Kelantan United FC RM150,000

Anas (dua dari kiri) dan Masaki menunjukkan perjanjian yang ditandatangani kedua-dua pihak di Hotel Perdana pada Khamis.
Anas (dua dari kiri) dan Masaki menunjukkan perjanjian yang ditandatangani kedua-dua pihak di Hotel Perdana pada Khamis.
A
A
A

KELANTAN United FC menerima penajaan berjumlah RM150,000 daripada sebuah syarikat telekomunikasi yang berpangkalan di Jepun, KDDI Malaysia Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Operasi Kelantan United FC, Wan Mohd Zul Ikman Wan Abdul Aziz berkata, persetujuan penajaan itu dicapai hasil perbincangan awal kedua-dua pihak sebelum ini yang diwakili Pengarah Urusan KDDI Malaysia, Masaki Matsuura dan Exco Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat.

"Cetusan idea penajaan ini adalah hasil daripada Pengarah Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada yang memperkenalkan Kelantan United kepada syarikat KDDI.

"Selain itu, sebagai sebuah syarikat yang beribu pejabat di Tokyo, Jepun, pemilihan pemain Jepun, Masashi Motoyama dalam pasukan Kelantan United musim ini juga merupakan antara faktor yang menarik syarikat KDDI untuk menaja pasukan ini," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Majlis menandatangani perjanjian penajaan tersebut dilakukan Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan United, Anas Karimi Ahmad Thani disaksikan Naib Presiden Kelantan United, Rosdi Yaakob dan Hiroshi Hamada di Hotel Perdana, di sini.

Dalam majlis yang sama, Hiroshi turut menerima kejutan menerima surat pelantikannya sebagai Penasihat Kehormat Kelantan United FC.

Mengulas lanjut, Wan Mohd Zul Ikman berkata, melalui kerjasama itu, pihak KDDI Malaysia dan Kelantan United FC juga bersetuju untuk melaksanakan program bola sepak bersama sebagaimana yang dilakukan oleh Yakult Malaysia dan Kelantan United FC sebelum ini.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mengadakan kerjasama dengan beberapa pihak lagi dalam waktu terdekat melibatkan penajaan bagi membantu menguruskan pasukan berkenaan untuk musim ini.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, penajaan kali ini difokuskan kepada pihak yang benar-benar mampu memberi komitmen supaya perancangan jangka masa panjang dapat diaturkan sebaik mungkin.

Sementara itu, Masaki menyifatkan penajaan daripada syarikat itu sebagai satu kerjasama pintar yang akan memberikan manfaat kepada pasukan Kelantan United FC serta pembangunan bola sepak akar umbi di negeri Kelantan.

Beliau juga berharap melalui penajaan itu, syarikat KDDI akan lebih dikenali di pantai timur, sekali gus di seluruh Malaysia selepas ini.