Sindiket godam akaun bank melalui muat turun fail APK

Kamarudin menunjukkan modus operandi sindiket menggodam telefon pintar dengan menggunakan pautan fail APK.
Kamarudin menunjukkan modus operandi sindiket menggodam telefon pintar dengan menggunakan pautan fail APK.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengesan modus operandi baharu sindiket menggodam telefon pintar dengan menggunakan pautan fail 'andriod package kit' (APK) yang mengakibatkan mangsa kehilangan wang daripada akaun bank mereka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, setakat ini sebanyak lima kes dilaporkan membabitkan kerugian sebanyak RM58,844.

Menurut beliau, polis menerima tiga laporan di Johor, masing-masing satu laporan di Pulau Pinang dan Sabah.

"Siasatan mendapati, sindiket menggunakan Facebook untuk mengiklankan penjualan barangan atau perkhidmatan saluran televisyen bertujuan menjerat mangsa," katanya pada sidang akhbar di Pejabat JSJK di sini pada Khamis.

Tambah beliau, mangsa yang berminat dengan tawaran tersebut akan menghubungi sindiket melalui WhatsApp dan kemudian diberikan pautan fail APK sebelum diarah memuat turun aplikasi itu di telefon pintar.

Mohd Kamarudin memberitahu, setelah selesai dimuat turun, aplikasi itu akan menggantikan sistem mesej pesanan ringkas (SMS) sedia ada.

"Mangsa akan diarahkan mendaftar sebelum diberikan akses bagi menggunakan aplikasi tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Maklumat yang diperlukan untuk pendaftaran itu adalah nama, nombor kad pengenalan, emel, butiran kad kredit dan butiran perbankan dalam talian," katanya.

Menurutnya, setelah semua maklumat dimasukkan dan mangsa menekan butang hantar,namun paparan 'page error' akan ditunjukkan kerana aplikasi itu tidak dipautkan kepada sistem perbankan tulen.

"Hakikatnya, pemasangan aplikasi dan proses 'pendaftaran' yang dibuat semata-mata untuk mendapatkan akses terhadap kandungan SMS serta butiran perbankan yang kemudian akan digunakan untuk memindahkan wang dari akaun mangsa," katanya.

Kamarudin berkata, sebagai langkah pencegahan, orang ramai perlu sentiasa berwaspada dan jangan memuat turun fail APK yang dihantar ke telefon pintar daripada individu yang tidak dikenali atau sumber tidak sah.

"Tindakan memasang aplikasi SMS dari sumber yang mencurigakan perlu dielakkan.

"Oang ramai boleh menghubungi CCID Response Center di talian 03-26101559/ 0326101599 untuk mendapatkan nasihat lanjut," katanya.