'Syukur hasrat lihat rumah dibaiki tercapai'

Kerja-kerja membaik pulih rumah keluarga Zawiyah yang dijalankan sejak Ahad lalu. (Gambar kecil) Zawiyah Abdul Rahman.
Kerja-kerja membaik pulih rumah keluarga Zawiyah yang dijalankan sejak Ahad lalu. (Gambar kecil) Zawiyah Abdul Rahman.
A
A
A

TEMERLOH- Lebih sebulan sebuah keluarga di Kampung Sungai Dingin di Mentakab, di sini, tinggal dalam keadaan serba kekurangan selepas rumah mereka rosak akibat banjir besar pada Disember tahun lalu.

Rumah yang didiami sepasang suami isteri, Mohamad Daud, 63, dan Zawiyah Abdul Rahman, 52, serta dua anak perempuan mereka, Norhidayah, 24, dan Norfatihah, 23, ditenggelami banjir pada 20 Disember lalu menyebabkan keseluruhan siling pecah serta kelengkapan rumah musnah.

Zawiyah memberitahu, mereka sekeluarga tidak berkemampuan membaik pulih kerosakan sepenuhnya memandangkan suaminya yang hanya bekerja kampung manakala dia bekerja sebagai tukang cuci selain dua anak perempuannya bekerja dengan pendapatan sederhana.

"Duit bantuan yang kerajaan berikan RM1,500 sebelum ini telah saya gunakan untuk keperluan lain.

"Barangan dalam rumah pun hasil sumbangan orang rumah dan walaupun keadaan rumah teruk, saya dan keluarga tiada pilihan untuk tinggal di rumah ini lagi selepas banjir surut," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Namun tuah memihak kepada keluarga tersebut selepas aktivis alam sekitar, Khaidir Ahmad menerusi syarikat keluarganya, Hybrid Nursery menghulurkan bantuan untuk meringankan beban keluarga tersebut.

Ujar Zawiyah, bantuan yang diberikan sangat dihargai dan bersyukur kerana nasib keluarganya mendapat perhatian.

Keadaan rumah Zawiyah yang rosak akibat banjir pada Disember tahun lalu
Keadaan rumah Zawiyah yang rosak akibat banjir pada Disember tahun lalu

Artikel Berkaitan:

"Terima kasih dan sejujurnya saya dan keluarga tidak menyangka hasrat kami untuk melihat rumah ini dapat dibaiki tercapai," ujarnya lagi.

Sementara itu, Khaidir memberitahu, kos membaik pulih dan membeli barangan dianggarkan kira-kira RM12,000.

"Kos ini untuk menggantikan semua siling yang pecah dan atap zink di bahagian depan rumah, membeli tikar getah, membaiki dapur dan pagar yang rosak serta mengecat semula rumah berkenaan.

"Setakat ini, kira-kira RM9,000 berjaya dikumpulkan hasil sumbangan orang ramai serta syarikat keluarga saya yang juga menyediakan khidmat sukarelawan bagi kerja-kerja membaik pulih rumah berkenaan sejak Ahad lalu," tambahnya.

Menurutnya, buat masa ini kerja-kerja terbabit terpaksa ditangguhkan susulan ketiadaan stok siling.

"Apabila siling sudah ada, kita akan kembali menyambung tugas-tugas membaik pulih rumah keluarga ini," jelasnya.