SPRM sokong usaha wujudkan Akta Pembiayaan Dana Politik

Azam
Azam
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyokong agar Akta Pembiayaan Dana Politik diwujudkan bagi memastikan peruntukan kewangan yang diperolehi parti politik datang daripada sumber sah dari segi undang-undang.

Menurut laporan akhbar pada Rabu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, agak sukar untuk membezakan antara pemberian dana politik dengan rasuah ketika ini, bagaimanapun siasatan tetap dijalankan sekiranya ada laporan diterima.

“Dana (politik) yang tidak tahu daripada mana datangnya, kita bimbang ia adalah dana haram, undang-undang perlu diadakan bagi tujuan mengawal dana yang diterima parti politik daripada sumber tidak dapat dipastikan.

“Ini kerana, dana tersebut berkemungkinan diperoleh daripada sumber-sumber haram,” katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan bahawa kerajaan bersetuju membentang dan memuktamadkan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti pada persidangan Dewan Rakyat bermula 28 Februari ini.

Menurutnya, keputusan itu dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan PH, selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu ia disegerakan.

Mengulas lanjut, Azam akui turut menerima laporan berkaitan penawaran wang untuk wakil rakyat lompat parti namun kesalahan itu sukar untuk dibuktikan.

“Saya tidak menafikan SPRM pernah menerima laporan berhubung penawaran wang untuk ahli politik melompat parti tetapi tiada kes yang boleh dibuktikan sama ada wang dibayar,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Malaysia seharusnya mengambil contoh Akta Pembiayaan Dana Politik yang telah diamalkan di negara-negara lain.

“Dalam masa sama, ahli politik dapat membuktikan kepada rakyat bahawa mereka mengamalkan kepimpinan yang telus dan berintegriti.

“Ketika ini negara kita tidak mempunyai undang-undang khusus berhubung pembiayaan dana politik, sekiranya ahli politik dan Parlimen mewujudkan akta ini, ia perlu disokong,” jelas Azam.