Rangnick kecewa Manchester United bertiki-taka di Burnley

Antara aksi menarik pertemuan Manchester United, Burnley di Turf Moor.
Antara aksi menarik pertemuan Manchester United, Burnley di Turf Moor.
A
A
A

PENGENDALI sementara Manchester United, Ralf Rangnick mengkritik para pemainnya selepas The Red Devils mempersembahan corak permainan tiki-taka ketika diikat Burnley dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Turf Moor.

Malah pengendali dari Jerman itu juga kecewa selepas peluang menjaringkan gol tidak dimanfaatkan sepenuhnya para pemain pelawat untuk membawa pulang tiga mata.

"Kami tahu Burnley akan tampil pada separuh masa kedua dengan cara permainan yang lebih agresif dan satu-satunya perkara yang kecewa terhadap pasukan ialah para pemain Manchester United tidak cukup agresif dalam 20 minit pertama perlawanan separuh masa kedua.

"Pada separuh masa kedua, kami bermain bola sepak tiki-taka dalam kubu sendiri dan langsung tidak memberikan ancaman kepada pasukan lawan.

"Ya, para pemain melakukan serangan balas, namun pada masa sama melepaskan bola terlalu mudah ketika berada dalam kawasan pasukan lawan," katanya.

Pada perlawanan itu juga menyaksikan dua gol babak pertama The Red Devils dibatalkan pengadil perlawanan sekali gus memberikan bayangan awal kesukaran pemburuan kemenangan ke-11 liga musim ini.

Semuanya bermula dengan tandukan Raphael Varane dibatalkan kerana Harry Maguire ofsaid, sebelum gol sendiri pemain Burnley dibatalkan selepas Paul Pogba didapati melakukan kekasaran.

The Red Devils yang bermula baik sejak awal perlawanan terlebih dulu mendahului menerusi jaringan Paul Pogba, minit ke-18'.

Artikel Berkaitan:

Skuad kendalian Ralf Rangnick juga mempunyai peluang melebarkan jaringan selepas itu, namun kecemerlangan penjaga gol Burnley, Nick Pope menafikan deretan percubaan pelawat.

The Clarets kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan menerusi Jay Rodriguez pada minit ke-47'- dua minit sebaik separuh masa kedua.

Keputusan seri itu menyaksikan Manchester United terkeluar daripada kelompok empat teratas EPL.

Ditanya sama ada Manchester United perlu lebih konsisten dalam perlawanan itu, Rangnick berkata: "Ya, namun dalam keadaan biasa, kami sepatutnya menjaringkan dua atau tiga gol pada separuh masa. Ia sepatutnya lebih daripada 1-0.

"Saya percaya para pemain bermain hebat separuh masa pertama. Kami menjaringkan tiga gol, saya tidak faham mengapa dua jaringan itu tidak dibenarkan.

"Jika anda melihat lebih teliti keseluruhan permainan, kami menguasai sebahagian besar daripadanya. Memenangi satu mata tidak mencukupi," katanya.