Mukhriz akui adakan perbincangan jalin kerjasama bersama Muda

Mukhriz dalam sidang media selepas program Sepetang Bersama Datuk Seri Mukhriz Mahathir di d'Sultanaa Bazaar, Jalan Tun Abdul Razak pada Selasa.
Mukhriz dalam sidang media selepas program Sepetang Bersama Datuk Seri Mukhriz Mahathir di d'Sultanaa Bazaar, Jalan Tun Abdul Razak pada Selasa.
A
A
A
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengakui pihaknya sedang mengadakan perbincangan untuk menjalin kerjasama bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ujar beliau, meskipun perbincangan tersebut belum dimuktamadkan namun, pihaknya akan membuat pengumuman mengenai perkara itu selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penting PRN Johor pada Rabu.

"Maka dengan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memang kita ada perbincangan.

"Belum lagi dimuktamadkan apa bentuk kerjasama politik atau pun apa bentuk kerjasama lain yang boleh kita pupuk sewaktu PRN ini.

"Saya harap kalau menjadi, kita boleh membuat pengumuman dalam masa terdekat ini lebih-lebih lagi selepas SPR membuat pengumuman selepas 9 hari bulan nanti," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Sepetang Bersama Datuk Seri Mukhriz Mahathir di D'Sultanaa Bazaar, Jalan Tun Abdul Razak pada Selasa.

Pada Selasa, SPR akan mengadakan sidang media mengenai PRN Johor selepas selesai mesyuarat khas dijadualkan berlangsung pada Rabu.

SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas Berkaitan Urusan Pilihan Raya Umum Dewan Negeri Johor ke-15 pada 9 Februari 2022 (Rabu) bermula jam 10 pagi.

Dalam pada itu, Mukhriz juga Ahli Parlimen Jerlun itu berkata, pihaknya tidak mengadakan perbincangan bagi mewujudkan kerjasama dengan parti-parti lain termasuk Pakatan Harapan (PH).
Artikel Berkaitan:


"Jadi saya tahu bahawa PH pernah menyatakan hasrat kita untuk mengajak kita menyertai khemah besar (mereka).

"Tetapi pada waktu ini kita tidak berhasrat untuk menawarkan calon-calon kita di bawah lambang PH atau pun menyertai khemah besar PH yang dinyatakan tadi," ujarnya.